Islam tak ajar rotan anak berlebihan, hanya terhad kepada pelanggaran solat sahaja — Suhakam


  • Mukmin
  • Jumaat, 20 Sep 2024

Menurut Islam penggunaan rotan dibenarkan hanya bermula pada umur 10 tahun. — mStar

PERBUATAN seorang lelaki merotan beberapa kanak-kanak dipercayai penghuni rumah amal di bawah naungan Global Ikhwan & Services Berhad Holdings (GISB) baru-baru ini menimbulkan pendebatan dalam kalangan warganet.

Walaupun kanak-kanak tersebut dilihat meraung kesakitan, pelaku tersebut terus merotan mangsa.

Namun begitu, ada dalam kalangan masyarakat berpendapat tindakan pelaku terhadap mangsa itu tidak salah dan mengikut ajaran agama Islam sehingga menimbulkan perdebatan dalam kalangan warganet.

BACA LAGI: Ramai wanita terlepas pandang baca ayat al-Quran ketika haid, ingatkan boleh rupanya haram

BACA LAGI: [VIDEO] Elak buat konten libat kanak-kanak demi jaga privasi, jauhi fitnah — Pakar agama

Tampil menjelas isu itu, Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Dr. Farah Nini Dusuki berkata, tindakan tersebut boleh dianggap sebagai satu bentuk penderaan jika dilihat daripada sudut undang-undang.

Katanya, tidak dinafikan, isu penggunaan rotan sering dibahaskan apabila ada yang berpendapat bahawa merotan adalah salah satu kaedah dalam mendidik anak.

"Kita harus bertanya, adakah benar rotan itu satu-satunya kaedah pendidikan anak?

"Dalam konteks agama Islam, asas kepada penggunaan rotan datang daripada satu hadis yang menyebut: "Perintahlah anakmu solat ketika mereka berumur 7 tahun, dan pukullah sekiranya mereka tidak menunaikannya ketika berumur 10 tahun, dan pisahkanlah tempat tidur mereka".

"Namun, jika kita meneliti hadis tersebut, kita akan dapati bahawa penggunaan rotan, jika dibenarkan hanya bermula pada umur 10 tahun.

"Dan ia hanya terhad kepada pelanggaran solat sahaja," katanya kepada Majoriti dalam temu bual khas pada Rabu.

Tambah beliau lagi, terdapat juga pandangan ulama yang mengatakan bahawa sekiranya ibu bapa tidak mendidik anak-anak mereka dengan sewajarnya dari umur tujuh tahun, mereka kehilangan hak untuk menghukum pada umur 10 tahun.

2916362

Klip video seorang kanak-kanak dirotan sehingga menangis di salah sebuah pusat pendidikan dipercayai ada kaitan dengan GISB.

"Selain itu, Islam menekankan bahawa merotan hanya dibenarkan selepas semua peringkat pendidikan dibuat iaitu menegur secara lembut dan nasihat, memarahi atau memulaukan.

"Merotan pun jika merupakan kaedah terakhir tidak boleh hingga menyakitkan atau mencederakan.

"Kalau kita lihat kepada contoh daripada kehidupan Nabi Muhammad S.A.W., baginda tidak pernah menggunakan kekerasan terhadap kanak-kanak.

"Malah, terdapat lebih banyak hadis yang menunjukkan sifat belas kasihan Nabi terhadap kanak-kanak.

"Sebagai contoh, ada sebuah hadis yang menceritakan bahawa semasa Nabi sedang solat, cucunya naik ke atas belakang baginda ketika sujud.

"Nabi memanjangkan sujudnya kerana ingin membiarkan cucu baginda selesai bermain di atas belakang baginda" (Hadis direkodkan oleh Imam An- Nasaie dan Al Hakim).

"Ini menunjukkan betapa tinggi martabat yang diberikan Nabi Muhammad S.A.W. kepada kanak-kanak sehingga ketika sedang beribadah pun baginda tidak ingin menyakiti perasaan kanak-kanak" ujarnya.

Dr. Farah Nini turut menyeru masyarakat untuk menilai semula tanggapan mereka terhadap kanak-kanak.

"Jika kita perincikan hak-hak yang lebih besar yang diberikan oleh Nabi kepada kanak-kanak, tanpa pernah berkasar, maka siapalah kita untuk menggunakan kekerasan terhadap mereka?

"Oleh itu, dalam masyarakat kita, perlu ada anjakan paradigma dalam melihat dan menganggap kedudukan kanak-kanak," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram