
SATU kajian mendapati bahawa orang yang menghidap asma lebih cenderung untuk mengalami diabetes jenis 2, sementara pesakit diabetes jenis 2 juga dua kali ganda berisiko untuk menghidap asma.
Penyelidik menyatakan bahawa perkaitan yang menghubungkan kedua-dua keadaan itu masih tidak jelas dan mencadangkan agar langkah pencegahan seperti pemeriksaan pesakit asma untuk pra diabetes perlu dipertimbangkan.
Para akademik di Taiwan, China mengkaji mengenai topik itu melalui analisis meta yang melibatkan 17 juta orang daripada 14 kajian di negara-negara seperti United Kingdom, Finland, Denmark, Amerika Syarikat, Korea Selatan, Singapura, China dan Israel.
BACA LAGI: Kualiti tidur buruk kanak-kanak pengaruhi risiko pengambilan dadah, minum alkohol di kemudian hari
BACA LAGI: [VIDEO] Bapa bakar motor anak bersebab, pernah lalui zaman merempit
Kajian mendapati tahap keseriusan asma juga dikaitkan dengan risiko diabetes yang lebih tinggi. — Agensi/Codeblue
Kajian mendapati bahawa pesakit diabetes jenis 2 adalah 83 peratus lebih mungkin untuk menghidap asma berbanding mereka yang tidak mempunyai keadaan tersebut.
Sementara itu, individu yang mempunyai asma pula 28 peratus lebih cenderung untuk mengalami diabetes jenis 2 berbanding mereka yang tidak menghidap asma.
Kajian turut mendapati tahap keseriusan asma juga dikaitkan dengan risiko diabetes yang lebih tinggi.
Dr. Nam Nguyen dari Universiti Perubatan Taipei menyatakan bahawa penemuan yang dibentangkan di mesyuarat tahunan EASD 2024 di Madrid, Sepanyol mempunyai implikasi penting untuk amalan klinikal.
"Pertama, hubungan ini menekankan perlunya kesedaran yang lebih tinggi dalam kalangan pesakit diabetes jenis 2 dan asma serta penjagaan kesihatan mereka.
"Kedua, strategi pencegahan perlu dipertimbangkan untuk mengurangkan risiko diabetes jenis 2 dalam individu yang menghidap asma," katanya.
Analisis lanjut menunjukkan bahawa keadaan seperti tekanan darah tinggi dan dislipidemia (tahap lemak abnormal dalam darah) dikaitkan dengan peningkatan risiko untuk kedua-dua asma dan diabetes jenis 2.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), kira-kira 422 juta orang di seluruh dunia menghidap diabetes.
Dr. Nguyen berkata, kadar asma dan diabetes jenis 2 di peringkat global merupakan isu kesihatan yang biasa dan semakin meningkat.
"Keadaan ini memberi kesan negatif terhadap kualiti hidup individu dan dijangka akan membebankan sistem perubatan dan ekonomi.
"Namun, bukti yang mengaitkan kedua-dua keadaan ini dan perkaitan di sebalik hubungan tersebut masih tidak jelas menunjukkan perlunya kajian yang lebih mendalam mengenai hubungannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram