TINDAKAN seorang lelaki yang menjalankan perniagaan ketika menunaikan ibadah haji meraih kecaman ramai.
Rakaman yang dikongsikan menerusi hantaran di laman X pada Khamis itu memaparkan individu berkenaan dipercayai menjual minyak bidara di hadapan Kaabah.
Mendakwa produk berkenaan telah digunakan seluruh penduduk di Mekah, kenyataan itu sekali gus mengundang pertikaian dalam kalangan warganet yang rata-ratanya menyifatkan ia sebagai perkara tidak wajar.
BACA LAGI: Malaysia lakar sejarah jadi antara negara terawal edar Kad Haji Nusuk
BACA LAGI: 'Kami pasti akan campur tangan', AS terus pantau Malaysia lepas berhasil sekat 4 syarikat disyaki bantu Iran
Malah, ada juga pihak yang meninggalkan komen berbentuk hadis menerangkan salah laku berjual beli di rumah ibadah.
Daripada Abu Hurairah RA, Hazrat Muhammad SAW bersabda, jika sekiranya kamu melihat seseorang yang berjual beli di dalam masjid, maka katakan kepadanya: Semoga Allah tidak memberikan keuntungan kepada perniagaan kamu," kata MKX.
Sudah sudahlah tu pakcik...lupakan hal dunia...tumpukan lah bab akhirat... pic.twitter.com/lojM9BiHcq
— MALAYSIA MOST VIRAL (@MALAYSIAVIRALLL) June 13, 2024
Mengulas lanjut berhubung isu tersebut, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Mohd Salim Wan Mohd Noor berkata, perbuatan berniaga di depan Kaabah atau mana-mana rumah ibadah merupakan perkara tidak sopan.
Malah menurutnya, adalah tidak wajar seseorang itu menjalankan perniagaan ketika menunaikan ibadah haji atas tujuan meraih kewangan semata-mata.
"Ia tidak haram tetapi bukan satu perkara yang baik untuk dijadikan ikutan orang ramai kerana tujuan menunaikan haji sebaiknya tertumpu sepenuhnya untuk beribadah.
"Malah dakwaan mengatakan seluruh penduduk di Mekah menggunakan produk tersebut juga boleh jatuh hukum fitnah sekiranya ia tiada bukti kukuh," katanya ketika dihubungi Majoriti.
Dalam pada itu, berhubung hadis yang merujuk kepada dosa berjual beli di rumah ibadah, beliau berkata, di masjid sememangnya tidak digalakkan menjalankan aktiviti itu namun setakat ini, masih belum ada dalil yang sah mengatakan ia adalah dosa.
"Dalil yang merujuk kepada dosa dan hukum berniaga di depan Kaabah saya masih belum pernah dengar, perbuatan itu tidak dilarang tetapi jika dilakukan atas unsur penipuan dan keuntungan semata-mata maka ia jatuh hukum haram.
"Orang ramai yang tidak pasti akan kesahihan hukum agama ataupun dalil sebaiknya jangan berkongsi di laman sosial, ia boleh mencetuskan fitnah dan salah faham orang ramai," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram