SEORANG wanita dipercayai penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) bertindak di luar kawalan apabila menengking anggota pihak berkuasa yang datang mahu menyelesaikan isu sewa tertunggak kediamannya.
Menerusi satu video tular di laman X pada Rabu, wanita terbabit dilihat berang dengan kehadiran pihak berkuasa malah turut meninggikan suara sewaktu perbincangan sedang berlaku.
"Kenapa tak nak tolong bangsa sendiri? Warga asing yang sibuk berniaga tepi jalan, tiada permit tak ada pula nak pergi kacau. Pergi la kacau sana.
BACA LAGI: Sikap 'boleh je' punca budaya cop parkir PPR 'tidak nampak bayang' akan selesai
BACA LAGI: Tiada kutipan bulanan nak cop parkir, mengadu ke PBT pun buat tak tahu — Penduduk PPR
"Tak payah 'semak' la. Sudah itu datang sini buat apa? Saya tengah susah, suami saya sakit, itu pun tak boleh faham ke," katanya.
Jelas pihak berkuasa terbabit, pelaku cuba diterangkan mengenai skim bayaran ansurans namun ditengking sebaik penjelasan dibuat.
"Puan Hidayah, dengar dahulu penjelasan saya, kita datang sini nak bantu puan. Puan punya sewa hanya RM124 sahaja sebulan," kata anggota pihak berkuasa itu.
"Memang lah, saya tahu. Tetapi saya tengah susah. Jangan kata RM124, RM50 pun saya tak ada dalam akaun sekarang," balas penghuni wanita terbabit.
Memainkan sentimen perkauman ketika kejadian, rata-rata warganet mengecam perbuatan wanita itu yang disifatkan tidak bersikap adil kepada pihak berkuasa terbabit.
Kejadian itu dipercayai berlaku di PPR di Lembah Klang tetapi pihak berkuasa tempatan yang terlibat dan tarikh sebenar insiden itu tidak dapat dikenal pasti.
Tiada kenyataan dikeluarkan oleh pihak berkuasa berhubung video itu setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram