Malaysia lakar sejarah jadi antara negara terawal edar Kad Haji Nusuk


  • Primer
  • Ahad, 19 Mei 2024

Umat Islam sudah mula membanjiri Tanah Suci Mekah bagi mengerjakan ibadah haji.

MALAYSIA sekali lagi melakar sejarah dalam soal pengurusan haji apabila menjadi antara negara terawal mengedarkan Kad Haji Nusuk yang berfungsi sebagai dokumen rasmi pengenalan diri kepada jemaah haji musim 1445H/2024 bermula Sabtu.

Ketua Rombangan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, kad inovatif itu mengandungi pelbagai maklumat komprehensif berkenaan data peribadi jemaah haji seperti maklumat penempatan jemaah haji, visa dan pasport.

Menurutnya, kad itu dikeluarkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dan disediakan dalam format digital dan fizikal.

BACA LAGI: AS bimbang, pantau pemindahan minyak dari kapal ke kapal di perairan Malaysia

BACA LAGI: 'Kami pasti akan campur tangan', AS terus pantau Malaysia lepas berhasil sekat 4 syarikat disyaki bantu Iran

"Ia membolehkan jemaah haji dikenal pasti secara mudah khususnya oleh pihak berkuasa Arab Saudi, selain bertujuan meningkatkan keselamatan dan memudahkan pergerakan jemaah haji semasa berada di Tanah Suci," katanya.

Malaysia merupakan antara yang paling awal menyerahkan Kad Nusuk kepada para jemaah haji tahun ini sekali lagi menunjukkan kesungguhan serta keakraban kerjasama antara Lembaga Tabung Haji (TH), pihak Masyariq dan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

“Jemaah haji Malaysia diingatkan untuk sentiasa membawa Kad Nusuk ini bersama-sama mereka dan menjaga kad ini dengan baik kerana ia merupakan sebahagian daripada peraturan yang telah ditetapkan oleh Arab Saudi bagi jemaah haji tahun ini,” katanya lagi.

Jemaah haji dari Malaysia kebanyakannya diuruskan Lembaga Tabung Haji.

Jemaah haji dari Malaysia kebanyakannya diuruskan Lembaga Tabung Haji.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Kad Haji Nusuk kepada 20 jemaah haji yang menjadi kumpulan pertama menerima kad itu di Ibu Pejabat TH Hotel Abraj Al Janadriyah semalam dan turut dihadiri oleh wakil pengurusan Masyariq yang bertanggungjawab menyediakan kemudahan serta perkhidmatan asas untuk jemaah haji Malaysia.

Syed Saleh turut menekankan kad itu perlu dibawa sepanjang berada di Makkah dan Madinah kerana ia juga akan menjadi permit untuk memudahkan pergerakan jemaah haji semasa berada di Arafah, Muzdalifah dan Mina.

“Saya mengharapkan semua jemaah dapat menjaga kad pengenalan diri yang diberikan oleh TH sebelum ini dan Kad Haji Nusuk ini dengan baik kerana selepas ini kerajaan Arab Saudi akan mengetatkan laluan pergerakan orang ramai untuk masuk ke tempat bagi melaksanakan haji seperti Masjidil Haram, Masjid Nabawi, di Arafah, Muzdalifah dan di Mina,” katanya.

Beliau berkata langkah itu diambil oleh kerajaan Arab Saudi bagi memastikan hanya jemaah yang ada visa sah akan melakukan ibadah haji pada tahun ini berikutan tindakan segelintir pihak yang cuba menunaikan ibadah haji tanpa menggunakan visa haji yang sah.

“Jadi jangan leka, simpan dengan baik kad yang diberikan kerana di luar sana mereka yang tidak mempunyai kad ini, hanya menunggu sahaja kita leka untuk mengambil kad ini. Ia bukan sahaja menjadi pasport kita, tetapi juga permit untuk buat haji,” katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram