[VIDEO] Cuba kibar bendera Israel atas pentas, bekas tentera terjatuh patah tulang rusuk


  • Benua
  • Khamis, 13 Jun 2024

Tangkap layar seorang lelaki Israel terjatuh ketika cuba memanjat pentas pada konsert Coldplay di Athens, Greece.

KONSERT siri jelajah 'Music of the Spheres Coldplay' dicemari dengan kelakuan seorang lelaki Israel yang cuba memanjat naik ke pentas ketika persembahan itu berlangsung di Athens, Greece pada Ahad lalu.

Memakai topi besbol dan lilitan bendera Israel di pinggang, Guy Hochman yang juga bekas tentera Zionis, terjatuh selepas terpijak perkakas lampu di pentas tersebut.

Konsert itu terhenti selepas penyanyinya, Chris Martin turun memeriksa keadaan individu terbabit.

BACA LAGI: [VIDEO] Tentera simpanan Israel terima padah ketika cuba cabut bendera Palestin

BACA LAGI: AS minta Iran benarkan Israel serang balas demi jaga maruah — Sumber

Guy Hochman sebelum ini pernah dikecam susulan lawak jenakanya yang didakwa mempersendakan isu pembunuhan rakyat Palestin.

Dia menerusi hantaran di Instagram turut berkongsi situasi tersebut dan difahamkan cedera patah tulang rusuk akibat kejadiaan berkenaan.

"Di sini saya mencipta sejarah, BOOM! saya terjatuh dan hilang tulang rusuk kanan," katanya.

Untuk rekod, Chris Martin sebelum ini menyuarakan sokongan terhadap Palestin susulan peperangan yang berlaku di Gaza ketika ini.

Martin ketika mengadakan persembahan di Tokyo, Jepun pada November lalu memberitahu penonton bahawa dia percaya manusia di bumi penuh dengan kasih sayang, kebaikan dan belas kasihan.

"Saya tidak mahu menilai orang lain kerana mereka menjadi diri sendiri.

"Kami tidak percaya pada penindasan, pendudukan, keganasan atau pembunuhan beramai-ramai, tidak seperti itu," katanya merujuk kepada kezaliman Israel terhadap penduduk Palestin di Gaza. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram