Isu 'Recheck SPM': Kurang kadar bayaran RM100, tambah baik sistem semakan sedia ada — Pakar


  • Massa
  • Khamis, 13 Jun 2024

Pelajar perlu membayar RM100 bagi setiap semakan semula keputusan SPM. — The Star

SEMAKAN semula keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini menjadi bualan hangat dalam kalangan ibu bapa serta pelajar.

Ia susulan beberapa kelemahan oleh Lembaga Peperiksaan yang didakwa kurang cermat dalam menjalankan usaha kerja semakan kali kedua tersebut.

Segelintir pihak mendakwa anak-anak mereka terlepas untuk membuat permohonan ke pengajian universiti kerana telah melebihi tempoh ditetapkan akibat terlalu lama menunggu keputusan semakan kali kedua itu.

Ditambah pula dengan bayaran RM100 yang perlu dibayar, wujud juga spekulasi berkaitan kecekapan pihak berkenaan ketika menjalankan semakan kali pertama.

BACA LAGI: 'Recheck' keputusan SPM: Ramai kecewa kelewatan KPM

BACA LAGI: 'Cuai semak kertas peperiksaan, bayaran RM100 'recheck' SPM membebankan dan wajar dipulangkan'

Justeru, Pakar Pendidikan dan Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, Prof Madya Dr Zuraidah Abdullah berkata, pihak berkaitan perlu mengkaji semula cas bayaran dikenakan kepada pelajar yang ingin membuat semakan keputusan kali kedua.

Jelasnya, kadar RM100 itu mungkin agak tinggi dan kurang sesuai dengan situasi ekonomi serta kos sara hidup tinggi dihadapi rakyat masa kini.

2741987

Keputusan SPM 2023 diumumkan pada 27 Mei lalu. — Gambar hiasan

"Kalau nak minta Lembaga Peperiksaan memulangkan semula RM100 itu mungkin tidak relevan, tetapi cara terbaik untuk atasi isu berbangkit mungkin bayaran RM100 itu boleh dikurangkan ke RM80 atau RM50 bagi satu subjek.

"Pihak Lembaga Peperiksaan juga perlukan sedikit dana untuk menjalankan semula usaha semakan dan tapisan dalam skala besar, jadi pelajar memang perlu dikenakan bayaran.

"Cuma, atas ihsan dalam kegawatan ekonomi sekarang, tak salah jika ada pengurangan harga diberikan untuk pada tahun yang akan datang, sekurang-kurangnya ia membuka peluang lebih ramai pelajar untuk terus melanjutkan pengajian," katanya ketika dihubungi Majoriti.

Ketika disoal tentang kesan yang mungkin terjadi ekoran pengurangan bayaran tersebut, beliau berkata pihak Lembaga Peperiksaan bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu bekerjasama memperbaiki kelemahan sedia ada.

Jelasnya, dengan langkah pengurangan harga itu, semestinya lebih ramai pelajar akan terbuka untuk melakukan pemeriksaan keputusan kali kedua dan pihak berkaitan perlu memainkan peranan dalam memastikan proses tersebut berjalan lancar.

"KPM dan Lembaga Peperiksaan perlu lihat kekurangan yang ada dan perbaiki sistem penyerahan semula keputusan SPM kali kedua itu.

"Dengan penambahan bilangan pelajar yang membuat permohonan semakan kali kedua itu, proses semakan dan penanda kertas juga perlu ditambah baik dari segi mutu kerja dan kecekapan dalam memeriksa kertas peperiksaan tersebut.

"Isu keputusan lewat diterima pelajar sememangnya tidak patut berlaku kerana mereka telah membuat bayaran, kita faham akan kesukaran dihadapi pihak pendidikan tetapi jika ada kekurangan, maka ia perlu diperbaiki segera," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram