Jangan hanya ’syok sendiri’, DJ orang kahwin perlu tahu batas agar tidak melampau, jatuh hukum haram


  • Mukmin
  • Isnin, 22 Mei 2023

Deejay di majlis perkahwinan perlu melaksanakan tugas mereka berlandaskan hukum syarak bagi mengelakkan perbuatan itu menjadi haram.

KEHADIRAN tetamu dalam sesebuah majis perkahwinan bukan sahaja memeriahkan acara, tetapi turut meraikan pasangan raja sehari yang kini sudah bergelar pasangan suami isteri.

Bukan sahaja jemputan, bahkan deejay majlis kahwin turut perlu menjalankan tanggungjawab mereka agar keadaan lebih meriah dan bersesuaian dengan keadaan semasa.

Biarpun dilihat mudah, namun tugas sebagai deejay majlis kahwin ini turut perlu dilakukan berlandaskan hukum syarak.

majoriti2023 (8)

Kehadiran deejay dalam majlis perkahwinan sudah dianggap sebagai satu kewajipan bagi meraikan pasangan raja sehari.

Berdasarkan perkongsian individu dikenali sebagai Datuk Syeikh Faisol Omar, berkata, kehadiran deejay dalam sesebuah majlis kahwin masa kini dilihat sebagai satu kemestian.

Jelasnya, ada situasi yang mana tugas sebagai deejay boleh menjadi haram dan harus.

“Selama mana deejay itu berperanan tidak melanggar syarak maka diharus dan perbuatan itu dibenarkan.

“Sementara jika mereka berbuat perkara yang bertentangan seperti memalukan tuan rumah, memainkan lagu tidak senonoh, menggunakan kata-kata kesat mahupun mengaibkan tetamu, maka kehadiran deejay itu haram,” jelasnya dalam sebuah video yang dimuat naik ke TikTok.

Bagi mengelakkan perkara itu berlaku deejay perlu mematuhi peranan yang ditetapkan.

majoriti2023 (9)

Deejay perlu menjalankan tanggungjawab mereka agar tidak bertentangan dengan ajaran Islam sekali gus memalukan pasangan pengantin di hari berbahagia mereka.

Antara yang disebut oleh Syeikh Faisol ialah mengalukan kedatangan tetamu, memperkenalkan tetamu dan mengumumkan ketibaan pengantin.

“Deejay di acara majlis kahwin ini juga boleh dianggap sebagai satu kerjaya dan perlu dikenakan bayaran.

“Kehadiran mereka ini juga dapat memeriahkan suasana sambil memutarkan lagu yang bersesuaian dengan majlis perkahwinan,” tambahnya.

Secara kesimpulan deejay di majlis kahwin boleh diibaratkan seperti satu kemestian pada masa kini dan dianggap sebagai sumber mata pencarian bagi segelintir pihak.

Oleh itu lakukan tugas tersebut dengan sebaiknya agar tidak menimbulkan fitnah kepada pasangan pengantin, keluarga mahupun tetamu yang hadir. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram