[VIDEO] Nurul Syuhada nafi sengaja gugurkan Uwais, sedia bergelar janda


Nurul Syuhada hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada Selasa.

ISTERI kepada pelakon Hafidz Roshdi, Nurul Syuhada Mat Syukri meluahkan rasa kesal terhadap tuduhan mendakwa dia sengaja menggugurkan kandungannya.

Kata Nurul Syuhada, sebagai ibu mustahil dia akan berbuat demikian meskipun sedang berhadapan dengan konflik rumah tangga.

Pada masa sama, dia juga mengatakan sudah bersedia untuk menyandang status baharu sebagai janda.

“Saya kesal sebab hari ini saya ingatkan semuanya akan selesai, tapi pihak sana meminta penangguhan. Jadi saya pun terkejut.

“Kita mahu panjangkan buat apa lagi, sebab dia pun sudah ada pilihan dia. Saya reda sebab ALLAH sudah tulis takdir saya sebegitu. Jadi saya betul-betul berserah kepada ALLAH kerana saya tahu ini adalah yang terbaik buat saya,” katanya ketika hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor pada Selasa.

Sementara itu, Nurul Syuhada juga tidak mampu menahan sebak dan meluahkan perasaan kecewanya apabila Hafidz memfitnah dia menggugurkan kandungan.

“Takkanlah saya yang mahu menggugurkan dan bayi ini di dalam rahim saya, anak-anak saya pun sudah bagi nama iaitu Uwais.

“Jadi sekarang kes ini dalam siasatan lagi sebab saya pun belum memberi kenyataan kepada pihak polis dan selepas pulang ke Perlis hari ini (Selasa), baru saya akan memberi kenyataan di Balai Polis Kangar,” katanya.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 20 Jun sebagai tarikh baharu untuk prosiding seterusnya.

Nurul Shuhada dilaporkan memfailkan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah, Shah Alam pada 27 Februari lalu dan kes perceraian dibuat mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Untuk rekod, pasangan Hafidz mendirikan rumah tangga dengan Nurul Syuhada pada 30 April 2016 dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 6 dan Umar, 2. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram