[VIDEO] Perbualan dengan Dr. Mahathir betul, tawaran itu memang ada — Anwar


  • Hiburan
  • Selasa, 09 Mei 2023

Anwar mengakui perbualan antara dirinya dengan Tun Mahathir dalam filem tersebut ringkas, padat dan benar.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan perbualan antara dirinya dengan mantan perdana menteri Tun Mahathir Mohamad dalam filem Anwar The Untold Story adalah benar dari konteks sebenar perbualan.

Beliau memberitahu, babak tersebut adalah tepat, namun diolah mengikut kesesuaian filem dan fahaman umum.

“Sebenarnya perbualan itu panjang dan tepat, tetapi konteks itu benar, tawaran itu memang ada,” katanya ketika hadir ke Tayangan Perdana Anwar The Untold Story di Pavilion Kuala Lumpur pada Isnin.

Perbualan tersebut mengenai pergerakan hala tuju dan masa depan industri politik ketika itu.

Mengulas lanjut, Anwar memberitahu dirinya memberi kebebasan kepada pengarah untuk berkarya termasuk kebenaran kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) bagi melakukan tayangan.

“Pengarahnya diberi hak untuk menerbitkan dan bebas mengikut kreativiti jalan cerita kerana mereka sudah menemu bual ramai orang.

“Saya percaya bidang kreatif perlu diberikan sedikit ruang dan kebebasan untuk menghasilkan karya,” ujarnya yang mengakui tersentuh pertama kali menonton karya mengenai dirinya itu.

WhatsApp Image 2023-05-09 at 1.14.16 AM

Salah satu babak dalam filem Anwar The Untold Story.

Menteri Kewangan itu turut menyatakan penghasilkan filem tersebut tiada kaitan dengan unsur politik semasa memandangkan beliau kini menyandang status perdana menteri.

“Harus diingat bahawa filem ini dibuat jauh sebelum saya bergelar perdana menteri. Hanya suntingan dan OST (runut bunyi) sahaja dihasilkan selepas dilantik.

“Itu adalah fakta. Saya sendiri diberitahu Farid Kamil risau kemungkinan akan meninggalkan negara ini, tetapi syukur saya di sini.

“Saya beri ruang kepada Finas bukan sahaja untuk bercakap tentang Anwar, tetapi tentang sesiapa sahaja kerana ini adalah cerita benar dan perlu diberitahu saya ingin menentang rasuah,” tegasnya.

WhatsApp Image 2023-05-09 at 1.13.08 AM

Anwar hadir ke majlis tayangan perdana Anwar The Untold Story bersama barisan pelakon dan penggiat seni tempatan.

Pada masa sama, Anwar memuji lakonan Farid Kamil yang membawakan watak sebagai dirinya dalam filem arahan Viva Westi.

“Saya sukar untuk katakan penampilannya dan gayanya mungkin diambil sedaya upaya mirip saya. Cuma dia lebih kacak daripada saya, tetapi lakonannya sangat baik.

“Momen saya marah, saya sakit perkara itu sukar, tetapi dia lakonkan dengan baik sekali,” ujarnya.

Selain Farid, filem yang akan memulakan tayangan pada 18 Mei itu turut dibintangi oleh Acha Septriasa, Hasnul Rahmat dan dibantu oleh Piet Pagau dan Dewi Irawan.

Filem tersebut menceritakan tentang perkara yang berlaku terhadap Ahli Parlimen Tambun itu sekitar 1993 hingga 1998. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram