Skrip sama K Devan buat fans Jang naik meluat


  • Podium
  • Isnin, 15 Mei 2023

Berjaya mencatat kemenangan kali ketiga buat NSFC dalam Liga Super, namun penyokong tetap sudah 'muak' dengan skrip sama K.Devan.  —  Facebook Negeri Sembilan FC

NEGERI Sembilan FC (NSFC) terpaksa membariskan pemain tempatan dalam senarai kesebelasan utama berikutan berdepan dengan beberapa kekangan bagi mengharungi Liga Super musim ini.

Antaranya beberapa pemain yang mengalami kecederaan dan kekurangan pemain import.

Bagaimanapun semua itu bukan tentangan buat pengendali NSFC, K.Devan yang yakin terhadap kemampuan anak buahnya.

1731996

Biar bagaimanapun mutu persembahan yang ditonjolkan, K.Devan tetap yakin dengan kemapuan anak buahnya. — Facebook Negeri Sembilan FC

“Kita memang berdepan dengan masalah pasukan seperti pemain tercedera turun dengan bilangan pemain import yang kurang berbanding pihak lawan.

“Namun saya yakin dengan kemampuan pemain menggalaskan tugas dengan sempurna dan mereka cukup bersedia untuk perlawanan nanti,” katanya dalam satu temu bual bersama NSFCTV, baru-baru ini.

Meskipun meletakkan 100 peratus kepercayaan kepada pemain tempatan, namun penyokong bagai sudah ‘masak’ dengan skrip K Devan.

Sikap jurulatih yang terus menerus memberi ‘janji manis’ membuatkan penyokong kurang yakin akan prestasi NSFC.

majoriti2023 (6)

Kekalahan demi kekalahan sebelum ini menyebabkan NSFC mendapat keceman hebat daripada penyokong. — Facebook Negeri Sembilan FC

“Nak sembang apa? Menang sekali dua, lepas itu asyik kalah saja,” kata John Traves.

“Sokong dari kejauhan mungkin boleh,” kata Irfan Sufian.

“Malas sudah hendak sokong. Kita saja bersungguh-sungguh sokong. Kesudahan mengecewakan, main macam hempeh, mengecewakan,” kata Azlan Hashim.

“Rasanya sekali sekala boleh menang, tapi tahap tu saja,” Whattosay.

Biarpun mendapat kritikan, namun NSFC berjaya membuktikan kepercayaan K Devan tidak sia-sia apabila mereka berjaya mencatat kemenangan dengan Kuala Lumpur City 2-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan pada Ahad.

Kemenangan itu disumbangkan menerusi gol jaringan dua pemain tempatan, Zaquan Adha dan Safuwan Baharudin, sekali gus menutup mulut pengkritik terhadap kemampuan dan taktikal K Devan.

Ia merupakan kemenangan pertama dalam lima perlawanan Liga Super dengan NSFC kini menduduki tangga kesembilan liga, meraih 13 mata.

NSFC berpeluang untuk meneruskan momentum kemenangan apabila akan bersua Kelantan United pada 23 Mei ini di laman sendiri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram