Anak jadi kekuatan ibu tunggal harungi ujian berganda kematian suami, kediaman terbakar


Ispahani bersama lima anaknya menyambut Syawal tanpa kehadiran Mohd Rifaie.

MEMBUKA lipatan kenangan, 2023 menjadi tahun paling mencabar buat seorang ibu tunggal dengan lima anaknya.

Sendirian mengharungi kehidupan membuatkan Ispahani Ismail, 41, tabah dan cekal apatah lagi diuji dengan kehilangan suami pada Februari sementara kediamannya habis musnah dalam kejadian kebakaran ketika Ramadan lalu.

Akui Ispahani, anak-anak menjadi medan kekuatan buat dirinya meneruskan kehidupan apatah lagi kesemuanya masih di bangku sekolah.

“Segalanya berlaku dengan pantas. Alhamdulillah ALLAH menyayangi kami sekeluarga. Kami semua masih dalam proses belajar menerima kehidupan baru.

“Tanpa kehadiran suami dan sang ayah yang sangat mengambil berat dan penyayang kepada anak-anak,” katanya kepada Majoriti.

Bagi anak-anak, Ispahani adalah segalanya buat mereka. Bukan sahaja ibu, malah bapa untuk mereka mengadu kasih.

majoriti2023 (1)

Ispahani menyambut Syawal tanpa Mohd Rifaie iaitu suami dan juga bapa kepada lima anak mereka akibat meninggal dunia Februari lalu.

Selepas insiden kebakaran, Ispahani sekeluarga mendapat sumbangan Zakat Selangor termasuk bayaran sewa rumah.

Bercerita lanjut, Ispahani memilih untuk menjalankan perniagaan secara dalam talian sebagai sumber pendapatan sekeluarga.

Katanya, cara itu mampu membantu dirinya untuk menguruskan anak-anak dan dalam masa sama mencari nafkah buat keluarga.

“Saya meneruskan kehidupan macam biasa. Menghantar dan mengambil anak sekolah. Sedikit sukar apabila sendirian membesarkan mereka, namun saya terima ketentuan TUHAN.

“Walau bagaimanapun perasaannya, saya tetap perlu mencari jalan untuk mencari nafkah. Hidup mesti diteruskan demi saya dan lima anak ini.

“Selepas apa yang berlaku, saya tidak boleh membiarkan diri dengan perasaan. Saya perlu bangkit dan terus berusaha demi anak-anak,” ujarnya yang turut meraikan Aidilfitri secara bersederhana pada tahun ini.

2148093

Keadaan kediaman Ispahani yang musnah dalam kejadian kebakaran di Klang pada Ramadan lalu. — Sinar Harian

Ditanya tentang bagaimana dirinya mengharungi semua itu, Ispahani berkata; ”Meletakkan kebergantungan kepada ALLAH SWT untuk memohon kekuatan. Sejujurnya anak-anak inilah yang lebih kuat daripada saya.

“Di usia kecil mereka sudah diduga dengan pelbagai ujian. Mereka sebenarnya lebih tabah dan kuat daripada saya. Disebabkan itu, saya tidak boleh terus membiarkan diri bergenang air mata.”

Suaminya, Mohd Rifaie Mohd Nafiah, 41, meninggal dunia akibat penyakit dalam darah pada 6 Februari lalu. Allahyarham meninggalkan lima anaknya lingkungan umur 12 tahun hingga setahun.

Untuk rekod, insiden kebakaran melibatkan kediaman Ispahani dengan sebuah lagi rumah di Lorong Surau Sayyidah Zainab, Kampung Delek Kanan, Klang, Selangor berlaku pada 1 April sekitar pukul 10 pagi.

Kejadian itu menyebabkan Ispahani termasuk ibu mentua, Nik Rohana Nik Lah, 62, tinggal sehelai sepinggang. Selain rumah, turut terbakar ialah sebuah kenderaan dan tiga motosikal. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram