KEMASUKAN pendakwah yang mengaku sebagai keturunan Nabi Muhammad SAW bukan perkara baharu di negara ini. Bahkan boleh dikatakan situasi itu berlaku pada setiap tahun.
Tentu sahaja hal tersebut mencetuskan keraguan dalam kalangan umat Islam sama ada ingin mempercayai atau tidak.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Wan Salim Wan Mohd Noor, berkata, perlu ditegaskan bahawa hubungan Rasulullah dengan seorang Muslim tidak wajar dinilai berdasarkan keturunan.
Tetapi hal itu perlu dilihat berdasaran ketaatan, ikutan dan amalan ajaran Islam yang diajar oleh Rasulullah.
Wan Salim Wan Mohd Noor
“Seorang hamba abdi yang taat mengerjakan amal kebaikan adalah lebih akrab kepada Rasulullah berbanding seorang Arab daripada kabilah Quraisy, tetapi fasik dan perilaku maksiat.
“Ini lebih wajar dan lebih adil sebab keturunan adalah ketentuan daripada ALLAH dan tiada pilihan bagi seseorang, sedangkn amal soleh boleh diusahakan oleh seseorang,” katanya kepada Majoriti.
Wan Salim memberi reaksi tersebut apabila diminta mengulas tentang kehadiran pendakwah yang mengaku sebagai keturunan Nabi Muhammad.
Dalam pada itu, Wan Salim turut mencadangkan agar pendakwah yang ingin menyampaikan ceramah di Malaysia perlu menyediakan dokumen sah dan diperakui oleh pihak berkuasa negaranya.
“Saya ulangi apa yang sering dicadangkan iaitu seseorang warga negara asing yang ingin berdakwah di negara ini dan mendakwa dirinya cucu, cicit Nabi Muhammad perlu sertakan dokumen sah.
“Ini perlu bagi mengakui individu berkenaan adalah benar daripada keturunan Baginda SAW.
Mawla Muhammad Amin Al-Idrisi yang memasuki negara dan mengakui sebagai keturunan Nabi Muhammad pada 2022.
Sebelum ini, Majoriti melaporkan seorang pendakwah dikenali sebagai Sheikh Sayyid Sabahuddin Al-Husaini disambut meriah oleh sebilangan masyarakat Islam ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) baru-baru ini.
Pada 2022, seorang lelaki bernama Mawla Muhammad Amin Al-Idrisi turut mendakwa dia merupakan keturunan ke-38 Nabi Muhammad. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram