Jangan ambil mudah, ibu bapa guna duit raya anak dianggap meminjam dan perlu diganti


  • Mukmin
  • Selasa, 09 Mei 2023

Ibu bapa yang mengadakan rumah terbuka semata-mata untuk mengutip duit raya untuk anak-anak merupakan perbuatan yang bertentangan dengan agama Islam.

MEMBUAT rumah terbuka boleh dikatakan seperti satu kemestian pada bulan Syawal terutama bagi mereka golongan yang berkemampuan.

Selain daripada menghidangkan makanan dan mengeratkan hubungan silaturahim, tetamu turut akan memberikan duit kepada golongan kanak-kanak sama ada anak tuan rumah atau tetamu yang hadir.

Namun, adakah dibolehkan bagi ibu bapa membuat rumah terbuka semata-mata untuk mengumpul duit raya anak-anak.

Berdasarkan penjelasan Pensyarah Pengajian Islam Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), Mohamad Dininazmi Sabri, individu yang sengaja membuat rumah terbuka semata-mata untuk meraih keuntungan jelas tersasar daripada niat sebenar rumah terbuka tersebut.

Katanya, Islam menggalakkan agar setiap amal ibadah yang ingin dilakukan perlu niat kerana ALLAH SWT.

ezgif-5-9a75351a70

Ibu bapa yang menggunakan duit raya anak-anak untuk kegunaan peribadi perlu menggantikan semula kerana ibu bapa merupakan pemegang amanah kepada mereka.

"Niat melayan tetamu dan menjamu makanan itu sudah baik, tetapi lain pula jika ibu bapa sengaja membuat rumah terbuka kerana ingin mendapat duit raya untuk anak-anak.

"Perbuatan itu jelas tidak dibenarkan dalam Islam lebih-lebih lagi melakukan kebaikan, tetapi berselindung daripada tujuan sebenar," jelasnya kepada Majoriti.

Sementara itu, mengulas mengenai duit raya, Mohamad Dininazmi mengatakan ibu bapa tidak boleh menggunakan duit raya anak-anak tanpa sebab yang munasabah.

Terdapat dua situasi ibu bapa menggunakan duit raya iaitu untuk keperluan asas dan peribadi.

"Keperluan asas itu seperti untuk makanan dan pelajaran. Wang digunakan tidak perlu digantikan semula.

"Kedua melibatkan hal peribadi seperti membayar sewa rumah, bil atau perbelanjaan lain lebih-lebih lagi melebihan perbelanjaan seperti biasa.

majoriti2023 (91)

Duit raya yang diberikan kepada anak-anak adalah hak mereka yang boleh digunakan sekiranya ibu bapa berada dalam keadaan terdesak.

"Ibu bapa yang menggunakan duit raya anak-anak bagi kategori kedua ini perlu menggantikan duit anak mereka kerana dianggap meminjam," tambahnya.

Bagaimanapun, berbeza pula ibu bapa yang kurang berkemampuan atau terdesak untuk menggunakan duit raya anak-anak tanpa izin.

Situasi itu dibolehkan, namun perlu berhati-hati agar tidak berlebihan daripada perbelanjaan biasa.

Oleh itu secara kesimpulan, ibu bapa bertindak sebagai pemegang amanah dan menyediakan makanan, minum, pelajaran dan sebagainya untuk anak-anak selagi mereka belum mencapai usia baligh atau cukup umur.

Jadi, sebaiknya jangan menggunakan duit tersebut untuk kegunaan peribadi atau menggunakannya sebagai sumber kewangan tambahan.

Duit tersebut disimpan dan boleh digunakan untuk tujuan pelajaran atau perubatan.

Sekiranya keadaan terdesak, tidak mengapa ibu bapa menggunakan duit tersebut tetapi jangan bermewah, namun ibu bapa perlu gantikan duit raya tersebut jika menggunakannya untuk kepentingan peribadi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram