[VIDEO] Lagi pendakwah dakwa keturunan Nabi Muhammad ada di Malaysia, Jakim jamin siasat segera


  • Tular
  • Khamis, 04 Mei 2023

Tangkap layar seorang pendakwah dikatakan berketurunan Nabi tiba di Malaysia baru-baru ini.

UMAT Islam di negara ini dikejutkan dengan kehadiran seorang lagi pendakwah dikatakan salah seorang keturunan Nabi Muhammad SAW ke-38 yang akan mengadakan sesi ceramah di Malaysia tidak lama lagi.

Hangat diperkatakan di laman media, pendakwah terbabit yang dikenali sebagai Sheikh Sayyid Sabahuddin Al-Husaini disambut dengan meriah oleh sebilangan masyarakat Islam ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) baru-baru ini.

Namun, segelintir pihak mula berasa curiga akan kehadiran individu tersebut dengan beberapa kes 'ustaz palsu' yang pernah berlaku sebelum ini, masih menjadi igauan masyarakat.

Dalam satu video tular yang dikongsikan di laman TikTok, memaparkan pendakwah terbabit kelihatan sudah tiba di Malaysia.

Menerima pelbagai pendapat dan komen daripada warganet, rata-ratanya mengalu-alukan kedatangan pendakwah itu dengan ucapan syukur serta gembira akan kehadirannya.

Mengulas lanjut berhubung hal berkenaan, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan berkaitan pendakwah tersebut.

"Kami belum menerima sebarang maklumat berkaitan penceramah yang katanya berketurunan Nabi (Muhammad) tersebut, tapi siasatan akan dijalankan.

"Pihak kami akan semak segala butir kejadian dalam video tular itu dan orang ramai yang ada maklumat lanjut boleh segera buat aduan kepada Jakim," katanya kepada Majoriti.

Menggesa agar rakyat Malaysia tidak terlalu taksub dengan kehadiran penceramah dari luar negara, Hakimah turut berharap kes pendakwah 'cicit Nabi' yang berlaku tahun lalu tidak berulang lagi kali ini.

Terdahulu, kecoh apabila seorang individu yang mendakwa dirinya sebagai keturunan cicit ke-38 Nabi hadir memberikan ceramah di Selangor pada tahun lalu.

Dalam kejadian itu, Jakim sentiasa menasihati agar orang ramai berhati-hati dengan individu yang mendakwa dirinya cicit atau keturunan nabi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram