'Kebelakangan ini arwah tak henti ucap terima kasih', Didie Alias kongsi kisah rendang ayam kampung dan majlis kahwin anak selepas pemergian Ridzuan Hashim


  • Hiburan
  • Jumaat, 05 Mei 2023

Syawal terakhir Ridzuan meraikan Aidilfitri bersama keluarga selain menikmati masakan air tangan terakhir bekas isteri, Didie Alias iaitu rendang ayam kampung.

SELEBRITI versatil, Didie Alias mengakui pemergian aktor Ridzuan Hashim memberi tamparan hebat buat dirinya sekeluarga.

Perkara itu lebih memilukan apabila arwah menghadap ilahi ketika umat Islam masih menyambut Syawal sementara keluarga sibuk membuat persediaan untuk majlis perkahwinan anak lelakinya, Muhammad Dhanial pada 20 Mei ini.

"Arwah seorang yang ceria dan gemar berjenaka. Kami sekeluarga masih lagi dalam fasa terkejut dengan pemergiannya.

"Pada sambutan raya baru-baru ini, saya ada menyediakan hidangan rendang ayam kampung. Arwah seronok sebab dia dapat makan rendang pada hari raya.

"Hanya sebab rendang itu, arwah tidak henti-henti ucap terima kasih dan setiap hal yang saya buat untuk dia atau anak-anak, dia akan ucap terima kasih sangat-sangat," katanya kepada Majoriti.

Snapinsta.app_344792799_248612824370594_1413503775909384162_n_1080

Arwah (tengah) bersama keluarga dan bekas isteri, Didie Alias meraikan Syawal terakhir bersama pada Mei 2023.

Mengulas lanjut, Didie yang juga bekas isteri Allahyarham Ridzuan atau nama lengkapnya, Mohd Redzuan Hashim, 62, memberitahu beberapa tahun lalu mereka agak kurang berkomunikasi.

Namun, berbeza sejak tahun lalu apabila kedua-duanya berpeluang untuk meraikan hari raya bersama sekeluarga dengan anak, menantu dan cucu.

"Sebelum ini kami agak kurang berborak (berbual) sebab dia lebih banyak bercakap dengan anak-anak.

"Namun, sejak tahun lalu arwah sering mengucapkan terima kasih kepada saya. Jika kami berbual, ada saja arwah akan ucapkan terima kasih," jelasnya.

majoriti2023 (74)

Didie mengakui pemergian Ridzuan dua minggu sebelum majlis perkahwinan anaknya, Dhanial pada 20 Mei memberi kesan kepada keluarga.

Dalam pada itu, mengimbau semula detik-detik sebelum arwah menggembuskan nafas terakhir, Didie memberitahu, arwah seorang yang kerap bangun pagi namun sebaliknya berlaku pada hari kejadian.

"Selalunya dia bangun awal, tapi hari itu anak masuk ke biliknya dan dia bergerak agak perlahan dan kurang bercakap.

"Ketika sarapan, anak di dapur fikirkan arwah bermain dengan kucing kerana arwah akan membuat bunyi khas jika ingin memanggil kucingnya. Rupanya dia sedang sesak nafas sebelum jatuh pengsan," jelas Didie.

Dipercayai meninggal dunia akibat serangan jantung, jenazah arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Dusun Tua, Hulu Langat, Selangor.

Allahyarham yang terkenal dengan watak King dalam filem KL Gangster mendirikan rumah tangga dengan Didie Alias pada 1991 namun bercerai pada 2002.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurnaiakan lima cahaya mata. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram