KEMAHIRAN dan kelebihan dalam menghasilkan video kesan khas visual VFX dan kesan khas komputer (CGI) membuatkan nama pempengaruh media sosial, Sofyank popular sehingga ke peringkat antarabangsa.
Sofyank atau nama sebenarnya Mohamad Sofian Abdullah, 27, berjaya mendapat tempat pertama pertandingan Ultimate VFX Challenge-Magic of The Month di Los Angeles, Amerika Syarikat baru-baru ini.
Kemenangan itu lantas membuktikan kebolehan rakyat Malaysia dan memiliki kemahiran setanding golongan profesional luar negara.
Berdasar kejayaan itu, Sofyank meletakkan sasaran untuk membuka sebuah rumah produksi sekali gus menarik lebih ramai golongan muda terlibat dalam pembikinan VFX.
Video yang disunting oleh Sofyunk yang menampilkan dirinya bersama pelakon Hollywood Zendaya dan Tom Holland dalam filem Spiderman No Way Home.
“Saya sangat gembira apabila berjaya membawa pulang berita gembira ini kepada rakyat Malaysia. Kejayaan ini bermula daripada sokongan orang ramai juga.
“Video yang saya hasilkan menonjol kerana mendapat sokongan sehingga berjaya meraih perhatian pengguna antarabangsa.
“Kejayaan ini saya harap dapat membuka rumah produksi sendiri dan menghasilkan video berkualiti dan mendatangkan manfaat kepada masyarakat,” katanya kepada Majoriti.
Tuah ayam nampak di kaki
Barisan selebriti antarabangsa Will Smith (kiri) dan Paud Rudd yang ditemuinya.
Mengulas lanjut, Sofyank mengatakan segala kejayaan yang dirasakan sekarang ini adalah kerana sokongan daripada rakyat Malaysia.
Pada masa sama, Sofyank berpendapat peluang yang diperoleh sekarang ini kerana rezeki kurniaan ALLAH dan tuah berpihak kepadanya.
“Ini semua rezeki kerana apa yang saya buat ini sama saja dengan apa yang orang di luar sana buat. Jadi pada saya ini lebih kepada rezeki.
“Insya-ALLAH peluang yang ada ini saya akan cuba buat yang terbaik sekali gus memberikan semula kepada masyarakat.
“Saya akan berusaha menghasilkan video yang mendatangkan manfaat dan kebaikan kepada masyarakat. Bukan saja menghiburkan dan menghilangkan stres, tetapi dapat menambah ilmu,” ujarnya.
Luar negara
Sofyank mengharapkan agar dia berjaya membuka sebuah rumah produksi sendiri sekali gus menghasilkan filem suntingan VFX berkualiti tinggi.
Dalam pada itu, Sofyank turut meluahkan perancangan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang VFX.
Dia tidak menolak sekiranya perlu mengembara keluar negara untuk melanjutkan pelajaran. Bagaimanapun, Sofyank terbuka sekiranya dapat melanjutkan pengajian di institut pendidikan tempatan.
“Saya tidak kisah mana-mana. Kalau perlu ke luar negara untuk belajar saya terbuka begitu juga jika menyambung pengajian di tanah air.
“Tidak penting di mana-mana kerana utamanya saya dapat menambah pengetahuan dan kemahiran untuk menjadi lebih baik dalam menghasilkan video VFX,” terangnya.
Jejaka kelahiran Kelantan itu juga menasihatkan agar individu yang berminat dalam bidang VFX teruskan usaha dan tidak mudah mengalah.
Sebaiknya teruskan usaha tidak mengira dalam apa jua bidang.
“Tidak mengira apa saja minat kita, teruskan dan jangan mengalah. Siapa tahu apa yang kita lakukan itu akan membuka peluang baharu dan mengubah kehidupan,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram