'Kemenangan terletak di tangan ALLAH SWT' — Mufti ulas calon PRU letak gambar pada barang sumbangan


  • Mukmin
  • Jumaat, 18 Nov 2022

Antara sumbangan yang diberi oleh calon pilihan raya yang tertera gambar masing-masing.

KEMPEN Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang diadakan selama 14 hari merupakan peluang kepada calon-calon yang bertanding meraih undi rakyat.

Ini termasuk membuat pendekatan menerusi pelbagai cara seperti ceramah, melawat kawasan yang ditandingi serta bertanyakan masalah rakyat.

Tidak ketinggalan, ada juga calon yang menghulurkan sumbangan keperluan asas kepada rakyat yang memerlukan seperti beras, minyak dan barangan basah.

33b7987b-f85a-42a5-aa21-36589e326fd8

Namun, apa yang menghairankan, terdapat segelintir calon yang metakkan gambarnya atau logo parti pada bungkusan sumbangan tersebut.

Perkara itu seterusnya membuatkan rakyat tertanya-tanya, tentang sejauh mana keikhlasan calon yang memberikan sumbangan berkenaan.

Tampil menjawab isu itu, Prof Madya Dr Mohamad Sabri Haron berkata, setiap calon yang bertanding khususnya calon Muslim perlu memberi sumbangan dengan niat kerana ALLAH SWT.

Hal ini kerana, Mufti Terengganu itu berkata, kemenangan dan kekalahan pilihan raya terletak di tangan-Nya.

"Kalau kita buat sesuatu kerana manusia tak dapat pahala.

"...dan kalau kita nak menunjuk kita yang beri sumbangan ia membuktikan seolah-olah kita tiada keikhlasan," katanya kepada Majoriti.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Sabri berkata, setiap rakyat berhak mengambil sumbangan diberi mana-mana calon atau pemimpin.

Pada masa sama, katanya, calon berkenaan tidak boleh mewajibkan rakyat untuk mengundinya.

Ini disebabkan sumbangan rakyat kepada pemimpin, jelas beliau, adalah lebih besar daripada apa yang mereka terima.

"Sebab pemimpin hidup atas jasa rakyat yang beri sumbangan, termasuk mereka perlu membayar cukai barangan dan cukai pendapatan.

"Calon kalau sudah dapat jadi pemimpin mereka peroleh pendapatan banyak, sedangkan rakyat baru gaji minimum RM1,500. Itu pun tak cukup dengan keadaan sekarang ni.

"Kalau nak bagi sumbangan memang hak rakyat patut terima. Pilihan raya pun lima tahun sekali," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November sebagai hari pengundian PRU15. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram