BAHANG Ramadan kian terasa dan tanpa disedari, umat Islam telah memasuki bulan Syaaban.
Umat Islam seharusnya bersyukur kerana ALLAH SWT kerana memberi nikmat, ruang dan peluang untuk meraikan kehadiran Syaaban.
Pendakwah bebas, Asma' Harun berkata, banyak kelebihan yang terkandung pada bulan Syaaban, namun ada antara umat Islam yang masih terleka dalam merebut kesempatan itu.
Rasulullah SAW bersabda: "Itulah bulan (Sya'ban) yang mana ramai manusia melalaikannya, iaitu bulan yang berada di antara bulan Rejab dan Ramadan. Saat itu amal manusia diangkat kepada Tuhan semesta alam. Maka aku suka jika amalku diangkat ketika aku sedang puasa," — Hadis Riwayat An-Nasaie
Justeru, Asma Harun mengajak umat Islam merebut peluang dan kelebihan yang ada pada Syaaban untuk mempertingkatkan momentum keimanan dan ketaqwaan kita kepadaNya dengan melakukan amal soleh.
"Sememangnya tiada amalan khusus yang telah ditetapkan berdasarkan mana-mana hadis Nabi Muhammad SAW.
"Walaubagaimanapun, kita boleh mengambil peluang ini bagi menghidupkan bulan yang memiliki kelebihannya tersendiri, di samping sebagai persediaan menuju Ramadan yang dinanti," katanya menerusi laman Facebook.
Katanya, antara amalan yang disarankan ketika bulan Syaaban termasuk:
1. Mendirikan solat fardu di awal waktu dan perbanyakkan solat sunat
Daripada Abdullah Ibnu Mas'ud bertanya kepada Rasulullah SAW: "Apakah amalan yang paling dicintai di sisi Allah SWT? Nabi menjawab: “Solat pada waktunya.” Dia (perawi) bertanya lagi, "Kemudian apa?", jawab Baginda SAW: “Berbuat baik kepada kedua ibu bapa.” Dia bertanya lagi, “Kemudian apa?”, jawab Baginda SAW: “Jihad pada jalan ALLAH SWT," — Hadis Riwayat al-Bukhari
Asma' Harun berkata, Imam al-Ghazali mengingatkan jika umat Islam solat fardu yang dikerjakan adalah sempurna, maka itulah tanda ketidaksempurnaan dan juga menunjukkan syaitan telah berjaya umat Islam.
"Justeru, digalakkan untuk perbanyakkan solat sunat seperti qabliah dan ba'diah, tahajud, solat sunat dhuha dan sebagainya. Mudah-mudahan, ia dapat tumpang atau melengkapkan kekurangan yang ada kita ketika kita menunaikan solat fardu," katanya.
Abu Hurairah RA menyebutkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya amal seseorang yang mula-mula sekali dihisab pada kiamat ialah solatnya; jika solatnya baik (diterima), maka beruntung dan berbahagialah dia. Jika solatnya rosak (tidak diterima), maka kecewa dan rugilah dia. Kiranya terkurang sesuatu daripada solat fardunya, Allah SWT berfirman: “Periksalah, adakah hambaku itu mempunyai solat sunat yang dapat menampung solat fardunya?” Demikianlah keadaan semua amalnya yang lain dihisab,” — Hadis Riwayat Tirmizi
2. Perbanyakkan beristighfar kepada ALLAH SWT
Asma' Harun berkata, antara lafaz istighfar yang boleh diamalkan ialah sayyidul istighfar iaitu penghulu kepada segala istighfar.
Daripada Syaddad bin Aus RA, Nabi Muhammad SAW bersabda: "Sayyid al-Istighfar hendaklah kamu mengucapkan: Ya ALLAH, Engkau adalah Rabbku, tidak ada Ilah (Tuhan) yang berhak disembah dengan benar melainkan Engkau. Engkau yang menciptakan aku dan aku adalah hambaMu. Aku di atas perjanjianMu dan janji-Mu sesuai dengan kemampuanku. Aku berlindung kepada-Mu dari keburukan perbuatanku, aku mengakui nikmatMu kepadaku dan aku mengakui dosaku kepada-Mu, maka ampunilah aku. Ini kerana, tiada yang dapat mengampuni dosa melainkan Engkau," — Hadis Riwayat al-Bukhari
Nabi Muhammad SAW juga ada menyatakan kelebihan bagi sesiapa yang mengamalka sayyidul istighfar tersebut. Baginda SAW bersabda: "Barang siapa yang mengucapkannya (sayyidul istighfar) di waktu siang hari serta yakin dengannya, lalu dia meninggal dunia pada hari itu sebelum waktu petang, maka dia termasuk dalam kalangan penghuni syurga. Dan barang siapa yang mengucapkannya di waktu malam dengan penuh keyakinan, lalu dia meninggal dunia sebelum masuk waktu pagi, maka dia termasuk dalam kalangan penghuni syurga," — Hadis Riwayat al-Bukhari
3. Perbanyak berselawat kepada Nabi Muhammad SAW
Daripada Abdullah bin 'Amr RA, Nabi Muhammad SAW bersabda: "Sesungguhnya barang siapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, maka Allah SWT akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh selawat,” — Hadis Riwayat Muslim
Dalam sebuah hadis yang lain diriwayatkan bahawa, para sahabat pernah bertanya kepada Nabi Muhammad SAW tentang bagaimana cara berselawat kepada Baginda SAW.
Kemudian Baginda SAW menjawab dengan mengatakan: "Ya ALLAH, berilah selawat kepada Muhammad dan kepada keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah berselawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia. Ya ALLAH, berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia," — Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim
4. Perbanyakkan membaca dan mentadabbur al-Quran
Daripada Abu Umamah al-Bahili RA, Nabi Muhammad SAW bersabda: "Bacalah al-Quran kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada sahabat-sahabatnya (pembacanya)," — Hadis Riwayat Muslim
Tadabbur bermaksud menghayati dan mengambil iktibar daripada al-Quran untuk diamalkan.
Firman ALLAH SWT: "(Al-Quran ini) sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), kitab yang banyak faedah dan manfaatnya untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar," — Surah Sod: 29
5. Perbanyakkan berdoa dan bermunajat kepada Ilahi
Rasulullah SAW berpesan kepada Ibnu Abbas RA: "Apabila kamu meminta, mintalah pada ALLAH, dan apabila kamu meminta pertolongan, mintalah dengan ALLAH. Ketahuilah, jika suatu kumpulan manusia berpakat untuk memberikan kebaikan kepadamu, mereka tidak akan mampu memberikan apa-apa melainkan apa yang ditulis oleh ALLAH SWT untukmu. Dan jika mereka berpakat untuk mengenakan keburukan kepadamu, mereka tidak akan mampu menimpakan apa-apa melainkan apa yang telah Allah tuliskan ke atasmu," — Hadis Riwayat Tirmizi
ALLAH SWT juga menggalakkan kita agar sentiasa berdoa kepadaNya: "Dan Tuhanmu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu, nescaya Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina,” — Surah Ghafir: 60 — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram