LEBIH kurang sebulan lagi umat Islam akan menyambut bulan Ramadan, yang dijangkakan pada 3 April 2022.
Seperti biasa, umat Islam diwajibkan untuk menunaikan ibadah puasa ketika bulan Ramadan, yang mana ia adalah salah satu daripada rukun Islam.
Firman Allah SWT: "Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa," — Surah al-Baqarah: 183
Ketika bulan Ramadan, adakala segelintir umat Islam tidak dapat berpuasa atas alasan-alasan tertentu.
Pendakwah bebas, Asma' Harun berkata, hukum qada' atau ganti puasa wajib diselesaikan sebelum masuk bulan Ramadan seterusnya, bagi sesiapa yang meninggalkan puasa sama ada dengan sengaja atau sebab-sebab yang dibenarkan syarak iaitu:
1. Orang yang sakit.
2. Orang bermusafir yang dibenarkan syarak.
3. Orang tua yang lemah dan renta (tidak berdaya).
ORANG tua yang lemah dan tidak berdaya antara golongan yang boleh meninggalkan puasa mengikut syarak. — Gambar hiasan
4. Wanita yang haid dan nifas.
5. Wanita hamil.
6. Wanita yang menyusukan anak.
ALLAH SWT berfirman: "(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.
"Oleh itu, sesiapa di antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain.
"(Dengan ketetapan yang demikian itu) ALLAH menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan ALLAH kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur," — Surah al-Baqarah:185
Diriwayatkan daripada Mu’adzah, dia berkata: Saya bertanya kepada Saidatina Aisyah RA: Mengapa wanita yang haid, mengqada’ puasa dan tidak mengqada’ solat?"
Maka Saidatina Aisyah RA menjawab: "Apakah kamu daripada golongan Haruriyah?” Aku menjawab: "Aku bukan Haruriyah, akan tetapi aku hanya bertanya,"
Saidatina Aisyah RA menjawab: "Kami dahulu juga mengalami haid, maka kami diperintahkan untuk mengqada’ puasa dan tidak diperintahkan untuk mengqada’ solat," — Hadis Riwayat Muslim
Hukum tidak melaksanakan qada' puasa
IBADAT puasa adalah amalan wajib dilaksanakan umat Islam pada bulan Ramadan. — Gambar hiasan
Asma Harun berkata, haram dan berdosa besar bagi sesiapa yang melewat qada' atau ganti puasa sehingga masuk bulan Ramadan berikutnya, sedangkan dia mampu untuk melaksanakannya.
Beliau berkata, jika seseorang sempat menyelesaikan puasa ganti yang ada, sedangkan dia mampu untuk melaksanakannya sehingga masuk bulan Ramadan seterusnya, individu tersebut bukan sahaja wajib menggantikan puasa itu di hari lain, bahkan dia juga wajib membayar fidyah atau denda.
Ini berdasarkan hadis Saidatina Aisyah RA: "Pernah aku mempunyai hutang puasa Ramadan, aku tidak mampu mengqada’nya melainkan di bulan Syaaban. Kesibukan melayani Rasulullah SAW telah menghalang aku daripada mengqada’nya," — Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim
Cara melaksanakan puasa qada'
Menurut jumhur ulama, kata Asma' Harun, satu hari puasa yang ditinggalkan adalah wajib digantikan dengan satu hari yang lain sebelum masuk bulan Ramadan seterusnya.
"Contohnya, jika seseorang meninggalkan puasa di bulan Ramadan sebanyak 7 hari, maka dia wajib menggantikannya dengan jumlah yang sama iaitu berpuasa sebanyak 7 hari juga.
UMAT Islam wajib mengganti puasa mengikut hari yang ditinggalkannya.— Gambar hiasan
"Walau bagaimanapun, bagi orang sakit yang tiada harapan sembuh serta orang tua yang lemah dan renta (tidak berdaya), tidak diwajibkan untuk qada’ (ganti) puasa melainkan dengan membayar fidyah," katanya menerusi laman Facebook.
Fidyah (denda)
Fidyah dari segi bahasa bermaksud gantian, manakala dari segi istilah adalah denda ke atas mukallaf (orang Islam) yang telah baligh (cukup umur) kerana meninggalkan puasa wajib atas sebab-sebab tertentu atau sengaja melewatkan puasa ganti (qada’) Ramadan.
Hukum melunaskannya adalah wajib mengikut bilangan hari yang ditinggalkan.
Hal ini adalah berdasarkan firman ALLAH SWT: "(Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.
"Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui," — Surah al-Baqarah:184
Sebab-sebab dikenakan fidyah:
1. Orang yang sakit dan tiada harapan sembuh.
2. Orang tua yang lemah dan renta (tidak berdaya).
3. Wanita hamil yang risaukan kesihatan kandungannya sahaja.
4. Wanita yang menyusukan anak kerana risaukan anaknya sahaja.
5. Orang yang menunda-nunda untuk qada’ (ganti) puasa sehingga masuk Ramadan yang berikutnya.
6. Orang yang telah meninggal dunia dan tidak sempat untuk menggantikan puasa sedangkan semasa hidupnya, dia mampu melaksanakannya. Maka, waris perlu membayar fidyah mengikut bilangan hari yang ditinggalkan sebelum pembahagian harta dilakukan.
Kadar fidyah
Menurut mazhab Syafie, kadar fidyah yang diwajibkan adalah satu hari puasa yang ditinggalkan perlu dibayar dengan secupak makanan asasi untuk diberikan kepada golongan fakir. Secupak bersamaan kira-kira 600 gram atau seraup atau 1 ⅓ kati Baghdad. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram