Tragedi Tangmo Nida, ucapan takziah yang sesuai diucap umat Islam


  • Mukmin
  • Sabtu, 05 Mac 2022

JENAZAH Tangmo ditemui terapung di sungai sekitar 300 meter dari Pibulsongkram Pier, Nonthaburi, Bangkok oleh pasukan penyelamat tempatan pada Sabtu lalu selepas 38 jam hilang. — Gambar Fail

KISAH kematian pelakon terkenal Thailand, Tangmo Nida atau nama sebenarnya Pataratida Patcharawirapong menjadi perbualan hangat warganet susulan kronologi kesnya yang sangat menyayat hati.

Rasa simpati dan sedih antara reaksi yang diberikan oleh rata-rata netizen susulan jenazah Tangmo ditemui terapung di sungai sekitar 300 meter dari Pibulsongkram Pier, Nonthaburi, Bangkok oleh pasukan penyelamat tempatan pada Sabtu lalu selepas 38 jam hilang.

Dengan pelbagai spekulasi timbul mengenai kisah kematiannya, ucapan takziah seperti 'rest in peace' membanjiri ruang komen di setiap hantaran berita mengenai mendiang dan umat Islam antara yang turut serta mengucapkan ayat berkenaan.

Namun sebuah perkongsian dari pengguna Facebook, Julia Ahmad berkata, ucapan 'rest in peace' itu tidak sepatutnya diucapkan oleh orang Islam dan hujahnya itu disertakan dengan sebuah video penerangan dari pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus.

Menerusi video berdurasi satu minit 46 saat itu, Azhar Idrus berkata, umat Islam tidak dibenarkan untuk mendoakan keselamatan kepada orang kafir setelah mereka mati ataupun mendoakan supaya ALLAH memberi keampunan.

"Ini bukan untuk menunjukkan kita ini anti orang bukan Islam, tetapi kita nak menyatakan hukum agama kita sendiri.

"Telah dilarang kepada Nabi kerana Baginda pernah minta ampun untuk bapa saudaranya yang mati dalam keadaan tidak sempat masuk Islam.

"Bapa saudara Nabi pun yang Baginda sayang, Nabi sendiri telah ditegur oleh ALLAH, apatah lagi kita," kata Azhar Idrus.

Azhar Idrus berkata, jika seseorang itu meninggal dalam keadaan kafir, maka seseorang Muslim tidak boleh menyebut 'peace' kerana maksud perkataan itu adalah aman dan bercanggah dengan Al-Quran serta hadis yang mengatakan orang kafir akan diazab.

"Oleh kerana itu dalam kitab fatwa ulama-ulama mengatakan ucapan itu haram. Bila kita jawab haram, orang kata anti orang kafir.

"Kita bukan anti orang kafir tetapi itu adalah hukum agama kita. Boleh cakap apa kalau bukan rest in peace, ucaplah takziah untuk menggantikannya," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram