PERNAHKAH anda terfikir sebab setiap kali anda melakukan dosa, timbul perasaan tidak senang, gelisah, mudah kecewa dan sebagainya?
Sebenarnya ia disebabkan oleh iman yang diibaratkan seperti cahaya, manakala dosa umpama titik hitam yang membelenggu diri.
Daripada Nawas Sam'an RA, Nabi Muhammad SAW bersabda: "Kebaikan adalah dengan berakhlak yang mulia. Sedangkan dosa adalah sesuatu yang menggelisahkan hatimu. (Ketika dosa tersebut dilakukan), tentu engkau tidak suka hal itu nampak di tengah-tengah manusia," — Hadis Riwayat Muslim
Pendakwah bebas, Asma' Harun berkata, tidak mungkin hati yang keras dan dipenuhi kegelapan boleh dimasukkan cahaya iman, yang ditunjangi ketaatan kepada ALLAH SWT.
"Maka, wajib untuk kita kikis dahulu segala 'kerak' yang menutup hati supata cahaya hidayah dapat menembusi," katanya menerusi laman Facebook.
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: "Siapa bertasbih kepada ALLAH SWT selepas solat sebanyak 33 kali, dan bertahmid kepada ALLAH sebanyak 33 kali, dan bertakbir kepada Allah 33 kali, hingga semuanya berjumlah 99, dan Baginda SAW sempurnakan yang ke-100 dengan membaca Laa ilaaha illallah wahdahu laa syariika lahu, lahul mulku walahul hamdu wahuwa ‘alaa kulli syai’in qadiir, maka kesalahannya akan diampunkan walau sebanyak buih di lautan," — Hadis Riwayat Muslim
Asma' Harun berkata, ada individu yang bertanyakan kepadanya sama ada mereka boleh bertaubat hanya ketika hari tua kerana menganggap manusia tidak lari daripada kesilapan serta ALLAH SWT Maha Pengampun.
Beliau berkata, manusia tidak mengetahui bila mereka akan menemui ajal.
"Ya, ALLAH itu Ya Ghafar, tetapi jangan pula kita permainkan sifat ALLAH yang Maha Pengampun. Selagi masa masih ada, taubatlah bersungguh-sungguh.
"Sungguh, ia sebuah pesanan untuk diri sendiri juga. Mari sama-sama kita kembali kepadaNya, pintu taubat luas terbuka selagi matahari belum terbit di Barat atau nyawa di kerongkong. Semoga Allah mengampuni kita semua," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram