'Favouritism' dalam didik anak-anak, kajian dedah risiko jejas kesihatan mental


  • Bonda
  • Khamis, 29 Jan 2026

Isu pilih kasih dalam didikan anak boleh memberi kesan terhadap kesihatan mental si kecil. — Gambar hiasan/Janaan AI

ISU layanan berat sebelah atau ‘favouritism’ dalam kalangan ibu bapa bukanlah perkara baharu, namun kesannya terhadap kesihatan mental anak-anak sering dipandang remeh. 

Walaupun ada yang menganggap ia sekadar perbezaan kecil dalam cara mendidik, pelbagai kajian menunjukkan bahawa layanan tidak seimbang antara adik-beradik boleh meninggalkan kesan psikologi mendalam sehingga ke alam dewasa.

Pengalaman itu dialami sendiri oleh seorang wanita yang dikenali sebagai Kara. 

BACA LAGI: 'Tutur Mandarin peluang kerja lagi besar', Syafiqah Aina daftar anak SJKC, disiplin lebih ketat

BACA LAGI: Rasa 'down' cita-cita nak jadi angkasawan diperlekeh, tapi kembali semangat lepas dapat poskad daripada Dr. Sheikh Muszaphar

Sejak kecil, dia merasakan ibu bapanya lebih memberi perhatian kepada adik-beradiknya yang lain kerana sering mendapat layanan istimewa termasuk percutian keluarga, sedangkan dirinya lebih banyak berdikari. 

Pada awalnya, Kara cuba memahami keadaan itu dengan menganggap ibu bapanya mungkin mempunyai lebih banyak kemampuan kewangan apabila anak-anak yang lebih kecil membesar.

Namun, apabila keadaan itu berterusan sehingga dewasa, persepsinya berubah.

"Ketika itu saya sedar, mungkin ini bukan kebetulan, mungkin memang ada anak yang sentiasa menjadi kegemaran.

"Ia seperti dua generasi yang disisihkan," katanya, mengakui sukar untuk melupakan luka emosi yang dialaminya.

Kajian selama beberapa dekad mengesahkan bahawa pengalaman seperti yang dialami Kara bukan sesuatu yang terpencil. 

Kajian mendapati kanak-kanak yang merasakan diri mereka kurang disayangi lebih berisiko mengalami masalah kesihatan mental, hubungan kekeluargaan yang renggang serta prestasi akademik yang lebih rendah berbanding adik-beradik lain.

Pakar dan penyelidik hubungan adik-beradik dari Universiti Northeastern, Laurie Kramer, menjelaskan bahawa kesan itu boleh kekal sepanjang hayat. 

Menurutnya, ramai individu dewasa masih mengingati dengan jelas pengalaman yang berlaku ketika mereka berusia lima tahun. 

Dalam usaha memahami isu tersebut, Profesor J. Jill Suitor dari Universiti Purdue menjalankan kajian jangka panjang melibatkan lebih 500 ibu yang mempunyai dua atau lebih anak berusia dewasa.

Dapatan awal menunjukkan bahawa hampir dua per tiga ibu bapa secara tidak langsung mempunyai anak kegemaran dan pilihan itu selalunya kekal selama bertahun-tahun. 

Menariknya, anak perempuan didapati lebih kerap menjadi anak kegemaran, walaupun tiada ciri khusus yang menjamin kedudukan tersebut.

Suitor dalam masa sama turut mendapati bahawa pencapaian akademik atau kerjaya tidak banyak mempengaruhi kecenderungan ibu bapa. 

Bagaimanapun, apa yang lebih penting bukanlah sama ada ibu bapa mengakui wujudnya pilih kasih, tetapi bagaimana anak-anak mentafsir layanan tersebut. 

Sebagai contoh, seorang anak mungkin memerlukan lebih banyak perhatian kerana menghadapi masalah pembelajaran atau seorang lagi memerlukan keperluan tertentu atas faktor usia. 

Apabila alasan itu difahami, kesan emosi negatif dapat dikurangkan.

Namun, menjadi anak kegemaran juga bukan sesuatu yang sentiasa positif. 

Kanak-kanak yang sering menerima layanan istimewa boleh berasa bersalah, tertekan atau tidak layak terutama apabila perbezaan layanan terlalu ketara. 

Menurut pakar psikologi dari Universiti Utrecht, Susan Branje, kanak-kanak secara semula jadi mendambakan keadilan dalam hubungan kekeluargaan.

Lebih membimbangkan, kesan pilih kasih tidak pudar dengan usia kerana ia terus dirasai walaupun individu telah memasuki usia 40-an atau 60-an. 

Ada yang masih terkesan dengan kata-kata ibu bapa puluhan tahun lalu, termasuk pengakuan bahawa mereka bukan anak yang paling disayangi.

Hakikat ini menunjukkan betapa pentingnya hubungan antara ibu bapa dan anak, serta layanan adil dalam membentuk kesejahteraan emosi individu sepanjang hayat. 

Seperti yang ditegaskan dalam kajian terdahulu, ibu bapa mungkin tidak sempurna, tetapi kesedaran dan komunikasi yang jujur mampu mengelakkan luka emosi berpanjangan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram