DIDIAGNOSIS penyakit kronik seperti kanser pada usia muda sering kali menjadi pengalaman yang sukar difahami, bukan sahaja dari sudut perubatan tetapi juga emosi.
Kekeliruan, ketakutan dan rasa terasing kerap menyelubungi kanak-kanak yang berdepan diagnosis seberat itu, apatah lagi apabila kekurangan bahan bacaan sesuai dengan pemahaman mereka.
Menyedari jurang tersebut, seorang pesakit kanser mengambil inisiatif menghasilkan sebuah buku kanak-kanak yang lahir daripada pengalaman peribadi, dengan harapan dapat menjadi teman serta sumber kekuatan buat si kecil yang senasib dengannya.
BACA LAGI: Modal lebih RM30,000 lesap, 'over confident' pengasas kosmetik bangkit lepas sambung ijazah sarjana
Ruthe Tio tampil dengan buku bergambar pertamanya berjudul Doremi Dan C Nuget yang diinspirasikan daripada perjalanan hidupnya sebagai pesakit kanser.
Buku itu diterbitkan dalam Bahasa Malaysia dan Mandarin, selain disertakan ringkasan dalam Bahasa Inggeris di bahagian akhir, menjadikannya antara buku kanak-kanak dwibahasa terawal yang membincangkan isu kanser dengan cara mudah difahami.
Menurutnya, kebanyakan buku kanak-kanak berkaitan kanser di pasaran ditulis dalam bahasa Inggeris, sekali gus mengehadkan akses kepada pembaca tempatan.
Justeru, pemilihan bahasa dalam Doremi Dan C Nuget dibuat bagi memastikan mesejnya dapat disampaikan kepada lebih ramai kanak-kanak dan keluarga daripada pelbagai latar belakang.
Sebagai pesakit kanser tahap empat yang telah bertahan lebih tujuh tahun, Tio telah melalui lebih 100 rawatan kimoterapi, 30 sesi radioterapi serta beberapa sesi pembedahan.

Tio (tiga dari kiri) pada majlis pelancaran bukunya baru-baru ini.
Namun, beliau menegaskan bahawa buku itu bukan bertujuan untuk dipersembahkan sebagai kisah kejayaan.
"Saya tidak boleh mendakwa buku ini akan menjadi inspirasi, tetapi saya berharap ia dapat menjadi teman kepada mereka yang sedang melalui penyakit dan cabaran hidup lain," katanya.
Idea menghasilkan buku tersebut tercetus semasa menghadiri sesi kaunseling, apabila beliau ditanya tentang perkara yang paling dikesali dalam hidup.
Soalan itu membuka ruang refleksi mendalam buatnya untuk melakukan sesuatu yang bermakna buat kanak-kanak dan golongan muda yang sedang sakit, khususnya mereka yang berjuang melawan kanser.
Tidak seperti bahan perubatan atau risalah kesihatan, Doremi Dan C Nuget disampaikan dengan pendekatan yang lembut dan berempati.
Melalui penggunaan watak simbolik dan teks yang ringkas tetapi bermakna, buku itu turut memperkenalkan konsep kanser secara jujur dengan cara yang telus.
Penyakit itu dilabel sebagai 'C Nuget', menjadikannya lebih mesra dan mudah diterima oleh kanak-kanak.
Antara mesej utama diketengahkan ialah penegasan bahawa sakit bukan bermakna seseorang itu bersalah, selain turut menyatakan emosi sedih, marah dan takut sebagai perasaan yang normal.
Menurutnya, kanak-kanak sering menyalahkan diri sendiri apabila jatuh sakit dan bukunya membantu mereka memahami bahawa penyakit adalah sebahagian daripada kehidupan.
Bagi memastikan kandungan buku seimbang dari segi sensitiviti emosi dan ketepatan fakta, Tio mendapatkan khidmat nasihat Prof. Dr. Ho Gwo Fuang, pakar onkologi klinikal di Curie Oncology Malaysia dan bekas ketua onkologi klinikal Pusat Perubatan Universiti Malaya.
Prof. Ho menyambut baik inisiatif tersebut dan menyifatkannya sebagai satu keperluan dalam masyarakat.
Jelasnya, kebanyakan kanser kanak-kanak seperti leukemia, limfoma dan tumor otak berpunca daripada faktor genetik, bukannya gaya hidup.
Namun, stigma dan ketakutan masih berleluasa akibat kurangnya pemahaman.
"Sebahagian penderitaan datang daripada ketakutan terhadap perkara yang tidak diketahui," katanya sambil menegaskan bahawa pendidikan dan sokongan emosi sama penting dengan rawatan perubatan.
Nilai emosi buku itu turut diperkukuhkan melalui ilustrasi hasil sentuhan pereka dari Johor, Gordon Yong, pengasas pusat lukisan 9th Taruca manakala ilustrasi dilukis secara manual menggunakan pensel, dakwat dan warna bagi mengekalkan kejujuran emosi dalam setiap helaian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
