MINAT dan cita-cita yang disemai sejak kecil boleh menjadi pemangkin kepada kejayaan seseorang.
Ditambah pula dengan sokongan dan dorongan positif daripada pelbagai pihak, ia membuka peluang buat individu mencapai impian dimahukan walaupun dipandang rendah segelintir masyarakat.
Situasi itu cukup ideal digambarkan menerusi perkongsian seorang wanita mengenai adiknya, yang pernah menyimpan hasrat bergelar angkasawan suatu ketika dahulu.
BACA LAGI: 'Screen time jadi skill time', ibu tak sangka anak baiki PC ikut panduan ChatGPT, siap ada misi kumpul RM1,000 'Ini la yang mak aku lalui', Normala Samsudin masuk wad akibat tekanan darah cecah 211
Menurut @anakrahmat di laman Threads, adiknya sejak kecil bercita-cita mahu menjadi angkasawan atau sekurang-kurangnya bekerja dengan Agensi Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA).
Menunjukkan minat mendalam terhadap bidang angkasa sejak usia muda, adiknya juga gemar membaca buku berkaitan komet serta sains angkasa.
Bagaimanapun, impian tersebut pernah goyah ketika adiknya berada di Tingkatan Empat.
Dalam satu sesi ceramah motivasi di sekolah, adiknya menyatakan cita-cita untuk menjadi angkasawan apabila ditanya oleh seorang penceramah namun, jawapan itu disambut dengan respons yang mematahkan hatinya.
"Dulu adik saya cita-cita nak jadi astronout or at least kerja kat NASA, dari kecik memang minat baca buku komet.
"Masa ceramah motivasi di Tingkatan Empat, bila ditanya apa cita-cita, penceramah respon bidang ni susah nak proceed kat Malaysia, adik saya kecewa dan down sangat," katanya.
Pada waktu sama, negara ketika itu masih lagi meraikan kejayaan angkasawan pertama Malaysia, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor, yang baru sahaja pulang daripada misi ke Stesen Angkasa Antarabangsa.
Enggan adiknya terus tenggelam dalam kekecewaan, kakaknya mengambil inisiatif menghantar mesej peribadi kepada Dr. Sheikh Muszaphar melalui kiriman di Facebook.
Tanpa disangka, mesej itu mendapat maklum balas dan Dr. Sheikh Muszaphar meminta alamat rumah sebelum menghantar sekeping poskad khas buat adiknya.
Poskad tersebut mengandungi pesanan ringkas tetapi penuh makna.
Dalam tulisan yang ditujukan kepada adiknya, Dr. Sheikh Muszaphar menulis, "Fareez, never let others dictate you, best wishes!".
Menurut kakaknya, kata-kata tersebut memberi kesan mendalam dan menjadi satu bentuk sokongan moral yang amat berharga buat adiknya pada ketika itu.
Walaupun laluan hidupnya akhirnya berubah, semangat untuk belajar dan berjaya tidak pernah padam.
"Saya pm Dr, dia reply minta alamat dan hantar poskad untuk adik saya.
"Adik saya graduan Fizik USM tapi minat dah berubah, sekarang bekerja di Singapura dengan perbankan US dan boleh bertutur bahasa Perancis," tambahnya.
Walaupun tidak bergelar angkasawan seperti yang diimpikan sewaktu kecil, beliau berjaya membina kerjaya profesional di Singapura hasil dorongan serta kata-kata semangat idolanya itu.
Mengundang perhatian warga maya, hantaran perkongsan tersebut turut menjadi peringatan bahawa sokongan walaupun ringkas, mampu memberi kesan besar dalam membentuk keyakinan dan hala tuju hidup seseorang.
Ia juga membuktikan bahawa kejayaan hadir dalam pelbagai bentuk dan setiap impian yang disemai dengan usaha mempunyai nilai tersendiri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
