MASALAH kesihatan bukan sahaja memberi kesan fizikal, malah turut menguji emosi lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan tanggungjawab sebagai ibu bapa dan tuntutan kerjaya.
Situasi itu turut dialami penyanyi dan komposer terkenal, Noh Salleh, apabila terpaksa menjalani pembedahan tulang belakang di bahagian tengkuk selepas mengalami kesakitan berpanjangan.
Menerusi perkongsian di Instagram, Noh memaklumkan beliau selamat menjalani pembedahan pada 19 Januari lalu di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia Specialist Centre (HUKMSC).
BACA LAGI: Modal lebih RM30,000 lesap, 'over confident' pengasas kosmetik bangkit lepas sambung ijazah sarjana
Menurutnya, masalah pada tulang belakang bahagian tengkuk melibatkan vertebra C6 dan C7 telah menyebabkan tekanan saraf atau nerve impingement, sekali gus mengakibatkan tangan kebas serta sakit belakang kronik.
Situasi tersebut semakin mengganggu rutin hariannya, termasuk kesukaran mengangkat anaknya sekali gus mendorong beliau mendapatkan rawatan pembedahan.
"Masalah tulang belakang bahagian tengkuk C6 dan C7 yang menyebabkan nerve impingement, tangan kebas dan sakit belakang kronik sampai ganggu nak angkat baby Tara.
"Proses pembedahan berjalan lancar dan dikendalikan oleh Prof. Datuk Dr. Mohd Hisam Muhamad Ariffin," ujarnya.
Bagaimanapun, Noh mengakui terdapat kebimbangan memandangkan lokasi pembedahan yang sangat hampir dengan pita suara, organ penting yang menjadi sumber rezekinya sebagai seorang penyanyi.
"Yang buat tak best adalah lokasi surgery betul-betul di belakang vocal cords aku, risiko besar pada organ yang jadi punca rezeki aku, tapi ALLAH jaga, Alhamdulillah," tambahnya.
Dalam masa sama, vokalis kumpulan Hujan itu turut memohon doa orang ramai agar proses pemulihannya dipermudahkan dan beliau dapat kembali pulih sepenuhnya dalam tempoh terdekat.
Walaupun mengakui berasa risau, Noh sempat berseloroh mengenai komitmen persembahan yang dijadualkan berlangsung pada hujung minggu ini.
Luahan jujur penyanyi itu menerima perhatian ramai, dengan peminat serta rakan artis membanjiri ruangan komen dengan doa dan kata-kata semangat, mendoakan agar Noh segera sembuh. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
