SEORANG isteri mencuri perhatian apabila kembali menyarung gaun pengantin yang dipakai pada hari perkahwinannya, sekali gus menghadiahkan kejutan manis buat suami tercinta.
Lebih 36 tahun membina mahligai cinta, Barb Upshaw, 68, mengejutkan suaminya, Chuck Upshaw, 78, apabila muncul semula memakai gaun pengantinnya yang telah lama disimpan.
Ia susulan kejayaan Barb menurunkan berat badan lebih 30kg selepas bertahun-tahun berusaha melakukannya.
Menurut laporan agensi, pasangan itu berkahwin pada 16 September 1989 di Gereja Methodist Bersatu Universiti di East Lansing, Michigan, Amerika Syarikat (AS) ketika Barb berusia 31 tahun dan Chuck 41 tahun.
"Dia kata dia rasa cantik dan yakin boleh memakainya semula, dia sangat teruja untuk menunjukkannya kepada ayah saya," kata anak perempuan pasangan itu, Kayla Turpin.
Momen istimewa itu dirakam secara rahsia oleh Turpin dan dikongsikan menerusi Instagram pada 21 November 2025, sebelum kembali tular di laman sosial baru-baru ini.
Dalam video berkenaan, Chuck kelihatan terpaku dan terharu apabila Barb melangkah masuk ke ruang tamu mengenakan gaun vintaj berlengan panjang dengan potongan pinggang 'peplum'.
Chuck memuji penampilan isterinya sebelum menciumnya dengan lembut, sebaik menyedari wanita di hadapannya sedang memakai gaun pengantin yang pernah disarung lebih tiga dekad lalu.
"Apabila ayah saya menyedari itu adalah gaun pengantin ibu, dia benar-benar gembira, dia bangga dan teruja melihat ibu saya masih boleh memakainya semula.
"Saya tahu ini adalah momen yang perlu dirakam, saya senyap-senyap mengeluarkan telefon apabila ibu berkata dia mahu menunjukkannya kepada ayah.
"Saya rakam secara rahsia dan menggalakkannya keluar untuk menunjukkan kepada ayah," katanya.
Untuk rekod, Barb dan Chuck pertama kali bertemu di tempat kerja mereka di Hospital St. Lawrence, Lansing, Michigan, tiga tahun sebelum mendirikan rumah tangga.
Hubungan mereka bermula sebagai rakan sekerja sebelum Chuck memberanikan diri mengajak Barb makan tengah hari berdua.
Ketika lamaran pula, Chuck memilih cara yang ringkas tetapi penuh makna.
Pada awal musim panas 1989, beliau menghantar bunga kepada Barb yang sedang berehat di tepi kolam renang, disertakan nota bertulis, "Sudikah awak berkahwin dengan saya?"
Sepanjang perkahwinan, Barb dan Chuck turut membesarkan dua orang anak angkat, termasuk Turpin dan adik lelakinya.
Kisah pasangan sejoli itu membuktikan bahawa cinta sejati tidak pudar ditelan usia, malah boleh terus mekar dengan penghargaan terhadap detik-detik kecil yang bermakna. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
