SEORANG kanak-kanak perempuan yang ditahan di wad hospital akibat asma kronik menerima kejutan istimewa sempena hari jadinya hasil keprihatinan doktor dan jururawat.
Menerusi perkongsian ibunya menerusi akaun TikTok @amc94, anaknya, Nazifa Husna difahamkan dimasukkan ke wad bagi mendapatkan rawatan susulan akibat asma kronik serta masalah buah pinggang bocor yang dihadapinya.
Keadaan tersebut menyebabkan Nazifa terpaksa menyambut hari lahirnya di hospital, jauh daripada suasana sambutan seperti kanak-kanak lain.
BACA LAGI: Tangan kebas susah angkat anak, Noh Salleh jalani pembedahan tulang belakang tengkuk
BACA LAGI: Modal lebih RM30,000 lesap, 'over confident' pengasas kosmetik bangkit lepas sambung ijazah sarjana
Tambahnya, Nazifa sebelum ini menulis sepucuk surat kepada doktor yang merawatnya, memohon agar dibenarkan keluar lebih awal sebelum hari lahirnya.
Perkara itu dimuat naik oleh ibunya menerusi video berasingan dan mendapat perhatian warganet yang tersentuh dengan hasrat dinyatakan kanak-kanak tersebut.
Tanpa disangka, doktor dan jururawat di Hospital Melaka itu mengadakan sambutan hari jadi ringkas buat Nazifa sebagai tanda sokongan dan semangat buat si kecil itu.
"Ibu ada post semalam pasal Nazifa tulis surat dan bagi dekat doktor minta nak discaj awal sebelum birthday dia.
"Hari ini tiba-tiba doktor bagi dia discaj dan mereka surprise kan Nazifa," ujar ibunya.
Ibunya dalam masa sama turut merakamkan ucapan terima kasih kepada barisan petugas kesihatan yang sanggup meluangkan masa menceriakan hari istimewa anaknya walaupun dalam kesibukan tugas harian.
"Terima kasih doktor dan nurse sudi bagi Nazifa surprise birthday, happy birthday anak kesayangan ibu Nazifa Husna, semoga cepat sembuh," katanya.
Perkongsian itu menerima pelbagai reaksi positif daripada warganet yang memuji sikap prihatin dan empati ditunjukkan oleh kakitangan hospital, selain mendoakan agar Nazifa terus diberikan kesembuhan serta kesihatan yang baik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
