PEMPENGARUH dan usahawan kosmetik terkenal, Syafiqah Aina berkongsi pandangannya mengenai kepentingan penguasaan bahasa tambahan apabila mendaftar anaknya ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).
Menerusi satu hantaran di Instastory, Syafiqah Aina menjelaskan bahawa keputusan tersebut dibuat berdasarkan pertimbangan jangka panjang, khususnya dari segi peluang kerjaya, tahap disiplin serta perkembangan akademik anaknya.
Menurutnya, beliau sentiasa memasang hasrat untuk menghantar anak-anak ke sekolah Cina kerana melihat kelebihan besar yang ditawarkan, terutama dalam aspek penguasaan bahasa tambahan seperti Mandarin.
"Aina memang nak hantar anak-anak ke Chinese School sebab bagi Aina, ada banyak peluang bila masuk sekolah Cina dari segi extra language skill, disiplin dan akademik," katanya.
Tambahnya, usia kanak-kanak yang masih kecil merupakan fasa terbaik untuk pembelajaran kerana perkembangan otak yang pesat memudahkan mereka menyerap pelbagai ilmu dengan lebih cepat berbanding ketika dewasa.
Aina dalam masa sama menyifatkan kemasukan anaknya ke SJKC sejak awal memberi peluang untuk mempelajari lebih daripada satu bahasa, sekali gus membina asas kukuh yang akan memberi kelebihan besar pada masa hadapan.
"Bila hantar awal-awal ke Chinese school, mereka ada peluang belajar more language, masa kecik senang nak masuk kepala dan belajar compared to amik third language bila dah besar nanti.
"Bila ada skil cakap Mandarin, bila besar peluang kerja pun lagi besar," ujarnya.
Walaupun anak bersekolah di SJKC, Syafiqah Aina menegaskan bahawa bahasa Malaysia kekal sebagai bahasa utama di rumah.
Dalam masa sama, beliau melihat perkembangan positif apabila anaknya mula bertutur dalam bahasa Inggeris hasil persekitaran pembelajaran di sekolah tersebut.
"Dari segi disiplin pula, Aina rasa Chinese School lebih strict, ajar anak independent dari sekolah.
"Walaupun sedih sikit diorang tak bagi parents masuk school tunggu anak awal sekolah ni, just boleh drop depan pagar je sebab nak anak urus diri sendiri cari class sendiri, makan sendiri," tambahnya.
Namun, baginya, pendekatan itu membantu anak belajar mengurus diri sendiri, termasuk mencari kelas dan mengurus keperluan harian tanpa bergantung sepenuhnya kepada ibu bapa.
Keputusan tersebut juga dipengaruhi pengalaman ahli keluarga, apabila tokma dan sepupu anaknya di kampung turut bersekolah di SJKC, sekali gus memudahkan beliau mendapatkan panduan berkaitan persediaan anak.
Dalam pada itu, Syafiqah Aina menegaskan beliau tidak pernah merancang untuk menghantar anak-anak ke sekolah swasta atau antarabangsa kerana mahu mereka merasai pengalaman pendidikan aliran kerajaan, sama seperti yang dilalui oleh beliau dan suaminya.
"Orang cakap government school lagi banyak peluang, school activities dan sebagainya, hopefully dia boleh survive," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
