BINTANG tenis dunia, Naomi Osaka baru-baru ini mencuri perhatian apabila tampil dengan gaya fesyen luar biasa di Terbuka Australia 2026, sekali gus mengangkat identiti Jepun dalam dunia fesyen walaupun bergelar atlet profesional.
Osaka, yang merupakan bekas juara dua kali Terbuka Australia, memulakan kempen kejohanan itu dengan kemenangan sukar ke atas pemain Croatia, Antonio Ruzic, 6-3, 3-6, 6-4, dalam perlawanan pusingan pertama yang berlangsung di Rod Laver Arena.
Namun, bukan sahaja aksi di gelanggang menjadi bualan, malah penampilannya sebelum perlawanan turut mencuri tumpuan ramai.
BACA LAGI: Modal lebih RM30,000 lesap, 'over confident' pengasas kosmetik bangkit lepas sambung ijazah sarjana
Pemain berusia 28 tahun itu tampil dengan pakaian tenis unik berinspirasikan obor-obor ketika melangkah masuk ke gelanggang, lengkap dengan aksesori payung yang jarang dilihat dalam arena tenis profesional.
Gaya berani itu sekali gus mengundang pelbagai reaksi termasuk dalam sidang media selepas perlawanan.
Dalam sesi tersebut, Osaka mendedahkan bahawa penampilannya itu bukan dirancang secara spontan, sebaliknya melalui perancangan rapi selama beberapa bulan bersama pasukannya.
Menurutnya, setiap perincian perlu diteliti termasuk aspek praktikal seperti pergerakan dan kesesuaian pakaian di kawasan gelanggang.
"Ini sememangnya dirancang berbulan-bulan, kita perlu melihat reka bentuk, memastikan ia berfungsi dan saya boleh berjalan dengan selesa," katanya.
Osaka turut berkongsi detik mencemaskan ketika membawa payung tersebut, kerana bimbang ia tidak muat untuk melalui laluan menuju gelanggang.
"Perkara paling menakutkan bagi saya ialah saya tidak tahu sama ada payung itu boleh muat di dalam terowong.
"Saya berjalan perlahan-lahan dan terlanggar beberapa bahagian kecil, tetapi akhirnya semuanya berjalan lancar," ujarnya.
Menurutnya, sokongan daripada penganjur memberi keyakinan kepadanya untuk terus mengekspresikan diri melalui fesyen, sesuatu yang jarang dilakukan dalam sukan tenis.
Dalam pada itu, Osaka turut menyatakan harapannya agar lebih ramai pemain tenis berani menampilkan personaliti masing-masing di gelanggang.
Baginya, fesyen merupakan salah satu medium untuk menunjukkan identiti dan keperibadian seseorang atlet.
"Sudah tentu saya mahu melihat lebih ramai pemain berani bereksperimen.
"Saya membesar dengan pemain-pemain bergaya seperti Serena Williams, Venus Williams dan Maria Sharapova.
"Orang mungkin kurang bercakap tentangnya, tetapi Bethanie Mattek-Sands juga sangat berani dengan gayanya," katanya.
Bekas pemain nombor satu dunia itu bagaimanapun mengakui bahawa fesyen di gelanggang banyak bergantung kepada personaliti individu dan tidak semua pemain selesa tampil dengan imej yang menonjol.
"Semua orang berbeza, saya tidak menjangkakan seseorang yang pendiam akan tiba-tiba keluar dengan gaya ekstrem tetapi perkara kecil seperti reben di rambut pun sudah cukup untuk menunjukkan keperibadian. Dari situlah semuanya bermula," jelasnya.
Dengan pendekatan itu, Osaka bukan sahaja mahu dikenali sebagai atlet berprestasi tinggi, malah sebagai figura yang mampu menggabungkan sukan, budaya dan fesyen sekali gus memberi inspirasi kepada generasi baharu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
