KEKAL bersama satu syarikat selama beberapa tahun dianggap sebagai lambang kesetiaan.
Namun, melakukannya selama lebih enam dekad dalam jawatan yang sama adalah sesuatu yang luar biasa.
Yasuko Tamaki, seorang profesional dari Osaka, Jepun, mencipta nama dalam Guinness World Records selepas memegang jawatan yang sama di syarikat sama selama lebih 65 tahun.
BACA LAGI: Wanita Jepun jatuh tingkat empat kondo Subang Jaya sah isteri Ridz Okumura
BACA LAGI: Bapa gigih cari rezeki sebagai badut nak kumpul RM2,000, anak dapat tawaran masuk asrama di Perak
Kerjaya luar biasanya bermula pada 1956 apabila beliau menyertai Sunco Industries Co., Ltd. pada usia 26 tahun dan berterusan sehingga usia lanjut.
Pada November 2020, Guinness World Records secara rasmi mengiktiraf Tamaki sebagai pengurus pejabat tertua di dunia.
Dilahirkan pada 15 Mei 1930, beliau berusia 90 tahun dan 174 hari ketika pengesahan dibuat pada 2020.
Menariknya, menurut laporan worldhealth.net, Tamaki masih aktif bekerja di syarikat tersebut sehingga 2024.
Satu lagi saluran YouTube dengan nama akaun The Miracle Leaf mendakwa beliau masih bekerja pada 2025 ketika berusia 95 tahun, yang bermakna tempoh perkhidmatannya meningkat kepada 69 tahun!
Rentas generasi
Tamaki menyaksikan sendiri perkembangan Sunco Industries daripada sebuah firma kecil dengan kira-kira 20 kakitangan kepada organisasi dengan lebih 430 pekerja.
Beliau kemudian bertugas di jabatan hal ehwal am, mengendalikan perakaunan, tugas pentadbiran dan komunikasi dalaman.
Walaupun usia lanjut, sebahagian besar kerjanya melibatkan penggunaan komputer, kemahiran yang dipelajarinya ketika berusia lewat 60-an.
Beliau dinaikkan pangkat sebagai ketua seksyen pada usia 40 tahun.
Tamaki sentiasa meningkatkan kemahiran diri dengan memperoleh sijil baharu, mempelajari alat-alat terkini dan menerima perubahan.
Umur persaraan tradisional di Jepun sejak sekian lama ditetapkan sekitar 55 atau 60 tahun.

Walaupun usia lanjut, sebahagian besar kerjanya melibatkan penggunaan komputer. — Agensi
Tamaki mencapai tahap tersebut pada pertengahan 1980-an. Namun, beliau tidak memilih untuk bersara, sebaliknya terus bekerja di bawah kontrak tahunan yang boleh diperbaharui.
Beliau mula mempelajari komputer pada usia 67 tahun, menguasainya sepenuhnya menjelang umur 70 tahun, malah masih menikmati aktiviti seperti percutian ski bermalam bersama rakan sekerja pada usia yang mana kebanyakan orang sudah memperlahankan rentak hidup.
Pada usia 86 tahun, beliau masih mengikuti pembelajaran formal.
Menjelang usia 90 tahun pula, Tamaki sudah selesa menggunakan pelbagai platform media sosial, sehingga akhirnya menarik perhatian Guinness World Records terhadap kisah inspirasinya.
"Saya hanya melakukan apa yang sepatutnya dilakukan selama ini, saya benar-benar terharu.
"Saya sentiasa menganggap diri ini dilahirkan untuk berguna kepada orang lain.
"Membahagiakan pengerusi, para pengurus dan rakan sekerja, itulah matlamat saya," katanya ketika menerima anugerah tersebut.
Tamaki dilaporkan bangun seawal pukul 5.30 pagi dan melakukan yoga selama 30 minit.
Beliau kemudian akan membaca teks dalam ajaran Buddha yang mengandungi ajaran tentang kebijaksanaan dan ketenangan minda, sebelum ke tempat kerja sama ada berjalan kaki, menaiki bas atau kereta api bawah tanah.
Wanita itu juga seorang pembaca tegar dan pernah menduduki Ujian Kecekapan Kanji Jepun (Separuh Gred 1) bagi mengekalkan ketajaman kognitif.
Pada waktu lapang, beliau gemar bermain permainan kad, mahjong dan memberi nasihat bernas kepada rakan sekerja yang mendapatkan panduannya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
