JIKA kebiasaan pengguna media sosial memanfaatkan platform digital untuk mencari jodoh, berbeza pula dengan kisah seorang lelaki yang menyuarakan hasrat mencari nenek dan datuk angkat demi merasai suasana pulang beraya di kampung bersama keluarga.
Menerusi satu hantaran di aplikasi Threads miliknya, lelaki berkenaan secara terbuka menyatakan niatnya untuk mencari insan bergelar ibu atau nenek yang sudi menerima kehadirannya sekeluarga, terutama ketika perayaan Aidilfitri.
Menurut lelaki itu, beliau teringin memiliki figura ibu yang mendambakan kehadiran anak cucu untuk memeriahkan suasana hari raya.
"Ciri-ciri saya adalah berkeluarga, ada anak comel, rajin balik kampung, rajin menyapu sampah dan kemas laman kalau balik kampung.
"Ciri-ciri nenek atau atok yang saya cari ialah duduk rumah kampung (kayu), halaman rumah luas dan menetap di kawasan laman padi.
"Kalau ada boleh maklumkan, saya dah berpuluh tahun raya tiada ibu bapa. Teringin nak bawa anak beraya ada datuk nenek," tulisnya pada Ahad.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya mengakui tersentuh dan tampil menawarkan kampung halaman masing-masing untuk dikunjungi.
Ada yang menjemput sekeluarga lelaki itu pulang beraya ke Kedah, lengkap dengan suasana bendang di belakang rumah serta aktiviti gotong-royong menyediakan juadah raya.
“Meh raya Kedah, belakang rumah ada bendang. Malam raya kita gotong-royong buat ketupat dan rendang sama-sama, anak-anak pula boleh main bunga api,” tulis aunieburn.
"Bapa mentua saya tinggal seorang baru saja kematian isteri tersayang bulan lalu. Sekarang tengah sunyi murung.
"Ciri-ciri kampung yang awak nak tu memang 'sebiji' rumah bapa mentua saya, dia memang suka tetamu datang rumah," ujar aliaasfqh.
"Meh join kami enam beradik, kalau balik semua meriah. Bapa saya peramah, ramai anak angkat dia.
"Jadi boleh tambah cucu angkat, umur pun dah lebih 75 tahun, boleh join tambah meriah nanti," pelawa portmakanmalaya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
