MESKIPUN pertemuan hanya di tepi jalan, seorang pemandu lori mengambil kesempatan untuk melepaskan rindu kepada ibu bapanya ketika bertugas, baru-baru ini.
Menerusi perkongsian di akaun TikTok milik abgujang, pemandu lori berkenaan berkongsi kisah mengenai ibu bapanya yang sanggup menunggu kehadirannya di perhentian bas berhampiran persimpangan lampu isyarat Kampung Padang Asun, Kedah.
Difahamkan pada hari kejadian, lelaki tersebut bertugas membuat penghantaran ke Perlis atas urusan kerja dan singgah sebentar di lokasi berkenaan sebelum meneruskan perjalanan pulang ke Perak.
BACA LAGI: Bangun awal cari rezeki, nenek 88 tahun dibantu, terus jual sayur tanpa gangguan di pasar Segamat
BACA LAGI: Romantiknya...Ameera, kakak, Sharnaaz 'terbang' ke Jakarta, beri sokongan kekasih lawan tinju
"Siap turun barang dekat Perlis, nak menghala balik Perak singgah sat jumpa mak ayah tepi jalan pun jadi, lepas rindu,” katanya.
Lelaki itu mengakui sedih melihat ibu bapanya sanggup menunggu di tepi jalan dengan menunggang motosikal, namun cuba menahan sebak.
“Aku dengan mak ni kalau keluarkan air mata sama-sama macam drama, baik tahan saja,” ujarnya.
Sebaik turun dari lori, lelaki tersebut dilihat bersalaman dan memeluk kedua ibu bapanya, sebelum ibunya menghulurkan bekalan makanan.
Menurut pemuda itu lagi, ibunya memahami selera makanannya dan menyediakan hidangan kegemarannya termasuk sambal goreng ikan bilis serta gulai ikan, selain membekalkan makanan untuk dibawa dalam perjalanan.
Sebelum berpisah, pemandu lori itu sekali lagi mencium pipi ibu bapanya dan menyerahkan wang belanja, sebelum kedua-duanya pulang ke rumah dipercayai di Kampung Perik.
Perkongsian tersebut mendapat perhatian ramai di media sosial, dengan warga maya meluahkan rasa sebak serta memuji keakraban hubungan keluarga itu.
Raya-rata juga menganggap momen ringkas tersebut sebagai bukti kasih sayang anak terhadap ibu bapa walaupun dibatasi jarak dan tuntutan kerja. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
