Bapa gigih cari rezeki sebagai badut nak kumpul RM2,000, anak dapat tawaran masuk asrama di Perak


  • Bonda
  • Isnin, 29 Dis 2025

Bekerja sepenuh masa sebagai badut, Azizat cekal mencari rezeki demi menghantar anaknya ke sekolah asrama di Tingkatan Satu.

DI sebalik wajah ceria seorang badut yang sering menghiburkan orang ramai, tersimpan kisah pengorbanan seorang bapa sanggup melakukan apa sahaja demi masa depan anaknya.

Realiti itu dihadapi Azizat Zainal, seorang bapa kepada tokoh murid yang kini berusaha mengumpul dana sebanyak RM2,000 bagi menampung kos kemasukan anaknya ke asrama di Tingkatan Satu.

Menerusi perkongsian di laman Threads, Azizat memaklumkan anaknya menerima tawaran melanjutkan pelajaran ke sebuah Sekolah Agama di bawah Kerajaan Negeri Perak, satu pencapaian membanggakan hasil kecemerlangan akademik ditunjukkan sejak sekian lama.

BACA LAGI: 'Endra tidur berdengkur ingatkan normal', anak Eyra Hazali alami tonsil bengkak 'stage' 4, tutup saluran pernafasan

BACA LAGI: Dr Syeikh Muszaphar syukur anak ke-2 ditawarkan ke SBP, berjaya bahagi masa akademik dan sukan

"Saya tengah nak kumpul duit nak hantar anak dapat masuk asrama Tingkatan Satu, belanja dalam RM2,000 juga," ujarnya.

Bekerja sepenuh masa sebagai badut, Azizat mengakui sumber pendapatannya tidak menentu selain turut berdepan pelbagai masalah kesihatan yang menguji ketahanan fizikal dan emosinya baru-baru ini.

Namun, cabaran itu tidak mematahkan semangatnya sebagai seorang bapa dan mahu terus berusaha mencari nafkah selagi berdaya.

"Saya bekerja sebagai clown sepenuh masa dan sering diuji dengan pelbagai masalah kesihatan, bulan ni pula saya banyak diuji dengan masalah kesihatan.

"Tapi macam mana sakit pun, hidup kena diteruskan, tanggungjawab kena dilunaskan," luahnya.

 

 

Menurutnya, kos RM2,000 tersebut melibatkan perbelanjaan asas seperti pakaian sekolah, kelengkapan asrama dan keperluan harian anaknya.

Walaupun jumlah itu kelihatan biasa bagi sesetengah pihak, ia merupakan satu beban besar buat dirinya yang bergantung sepenuhnya kepada jemputan acara dan majlis hari jadi.

Sementara itu dalam hantaran berasingan, Azizat meluahkan dirinya tidak memilih kerja dan sanggup melakukan apa sahaja pekerjaan halal demi memastikan anaknya dapat melangkah ke alam persekolahan asrama.

"Nak pintal belon setiap hari sampai tangan bengkak pun takpa, asalkan saya dapat hantar anak saya," katanya.

"Kadang aku selalu terfikirkan adakah aku bapa yang gagal, anak aku cemerlang tiap tahun, siap dapat tokoh murid tapi aku tak mampu nak hadiahkan dia apa-apa," kongsinya lagi.

Walaupun ramai yang tampil menawarkan bantuan kewangan, Azizat dengan rendah hati menolak sumbangan berbentuk derma.

Katanya, selagi masih berdaya, dia memilih untuk bekerja dan berdikari tanpa menagih simpati.

"Maaf saya akan tolak jika ada nak derma atau sedekah, saya bukan sombong, tapi saya rasa saya masih ada kudrat untuk bekerja jauh sekali nak menagih simpati," jelasnya.

Selain menjadi badut, Azizat turut terbuka menerima pelbagai peluang pekerjaan lain seperti pengacara majlis, persembahan magik, copywriting dan kerja seni lukis, asalkan ia halal dan mampu menambah pendapatan keluarganya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram