Bangun awal cari rezeki, nenek 88 tahun dibantu, terus jual sayur tanpa gangguan di pasar Segamat


  • Bonda
  • Selasa, 27 Jan 2026

Pada usia lanjut, Giok Hong masih bangun awal setiap pagi untuk mencari rezeki dengan menjual hasil tanaman berhampiran rumahnya. 

SEORANG warga emas berusia 88 tahun, Sim Giok Hong mendapat bantuan bagi membolehkannya meneruskan rutin menjual sayur-sayuran di pasar awam Kampung Abdullah, Segamat, Johor tanpa sebarang gangguan selepas dikenakan kompaun oleh pihak berkuasa tempatan baru-baru ini.

Pada usia lanjut, Giok Hong masih bangun awal setiap pagi untuk mencari rezeki dengan menjual hasil tanaman berhampiran rumahnya. 

Namun, rutin yang dilakukan sejak lima tahun lalu itu terganggu selepas beliau dikenakan notis kompaun RM50 oleh Majlis Perbandaran Segamat (MPS) kerana berniaga tanpa lesen sah.

BACA LAGI: ‘She’s there’, Adam Shamil hargai pengorbanan nenek, penyokong terbesar dalam hidup

BACA LAGI: Siti Siti Saleha dilantik Profesor Adjung Universiti Taylor, 3 lagi selebriti wanita bergelar pendidik

Ketua Pemuda MCA Segamat, Tay Kok Wea yang juga ahli majlis MPS, berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 9 pagi pada 23 Januari lalu, selepas isu berkenaan tular di media sosial.

Menurutnya, sebaik melihat hantaran orang awam berhubung perkara itu, beliau segera memaklumkan ahli majlis, Eric Teo untuk turun ke lokasi bagi membantu warga emas terbabit.

“Saya membayar denda tersebut bagi pihak nenek itu kerana beliau seorang wanita yang tidak berdaya dan menjual sayur semata-mata untuk menyara kehidupan,” katanya pada Selasa.

Kok Wea berkata, bayaran kompaun berkenaan dibuat menerusi Eric, yang juga Timbalan Ketua Pemuda MCA Segamat. 

Kompaun tersebut dikeluarkan di bawah Peraturan 171 Undang-Undang Kecil Penjaja MPS 2011 kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah.

Mengulas lanjut, Kok Wea menegaskan, tindakannya itu bukan bertujuan meraih publisiti, sebaliknya didorong rasa simpati terhadap nasib warga emas berkenaan.

“Hantaran awal itu terus tular di media sosial sehingga ramai yang menyeru agar bantuan diberikan. 

"Justeru, saya membuat hantaran di Facebook untuk menjelaskan tindakan yang telah kami lakukan,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan, pihaknya telah berkoordinasi dengan unit penguatkuasaan MPS supaya tiada tindakan lanjut diambil terhadap Giok Hong pada masa hadapan.

Menurut Kok Wea, Giok Hong hanya menjual kira-kira tujuh jenis sayur dan berniaga empat kali seminggu, menyebabkan bayaran lesen sedia ada dianggap agak membebankan.

“Saya akan membangkitkan kes ini dalam mesyuarat jawatankuasa MPS bulan hadapan bagi membantu beliau mendapatkan lesen dengan bayaran token. 

"Sekiranya diluluskan, saya akan membayarnya bagi pihak beliau,” katanya.

Kok Wea turut menekankan, pembangunan dan kemajuan tidak seharusnya bergantung semata-mata kepada sistem, sebaliknya perlu disertai dengan sentuhan kemanusiaan.

Jelasnya, selepas kejadian itu, beliau menghubungi Giok Hong menerusi panggilan video bagi meyakinkan wanita berkenaan bahawa beliau boleh terus menjual hasil tuaian di pasar tanpa sebarang halangan.

“Hasil perbualan itu, saya dimaklumkan bahawa beliau seorang wanita berdikari yang tinggal bersendirian. 

"Beliau tidak memerlukan bantuan kewangan atau barangan, sebaliknya hanya mahu meneruskan rutin hariannya dengan tenang,” katanya. — The Star/YEE XIANG YUN

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram