SATU rakaman video tular di media sosial memaparkan seorang wanita diceraikan oleh suaminya hanya sehari selepas melahirkan anak pertama mereka.
Menerusi kapsyen video berkenaan, individu yang memuat naik rakaman itu meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan lelaki tersebut.
"Isteri baru pulang dari hospital selepas bersalin dan telah diceraikan oleh suaminya.
"Bersabarlah, saya harap puan menemui pengganti yang lebih baik daripada orang seperti dia,” tulis kapsyen tersebut.
BACA LAGI: Selepas 15 tahun menanti zuriat, pasangan ini akhirnya timang cahaya mata menerusi tajaan TAFF
Dalam video berkenaan, wanita yang dikenali sebagai Sherin itu dilihat tidak mampu menahan tangisan sebaik sahaja mendengar lafaz perceraian daripada suaminya, Rizal Zulfikri.
Susulan penularan video tersebut, Sherin tampil berkongsi kisah sebenar menerusi satu sesi audio siar bersama Dr. Richard Lee.
Dalam perbualan itu, Sherin mendedahkan bahawa suaminya bersikap dingin dan tidak mengambil peduli sepanjang proses kelahiran anak mereka.
Menurutnya, Rizal hanya berada di luar bilik bersalin dan tidak menunjukkan sokongan sewajarnya ketika beliau melalui saat sukar melahirkan anak.
Lebih mengejutkan, alasan sebenar perceraian itu didedahkan menerusi pesanan teks yang dihantar oleh Rizal.
Berdasarkan mesej tersebut, Rizal didakwa masih mempunyai hubungan dengan bekas teman wanitanya.
Difahamkan, Rizal turut menanggung perbelanjaan sara hidup bekas kekasihnya termasuk menyediakan telefon pintar dan menanggung kos penginapan disebabkan wanita itu tidak mempunyai pekerjaan.
Sherin bagaimanapun memilih untuk kekal tabah dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada tanggungjawab membesarkan anak perempuannya yang baru dilahirkan.
Beliau menegaskan tidak akan menerima Rizal kembali walaupun lelaki itu tampil memohon maaf pada masa akan datang.
Malah, ketika ditanya mengenai apa yang akan diceritakan kepada anaknya tentang figura seorang bapa, Sherin berkata, beliau akan memberitahu bahawa bapanya telah tiada.
“Saya akan beritahu sahaja dia sudah mati, doktor,” katanya dengan nada sebak.
Kini, wanita berusia 21 tahun itu bertekad untuk berdikari dan berjuang sendiri demi menyara serta membesarkan anak perempuannya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
