Wanita Jepun jatuh tingkat empat kondo Subang Jaya sah isteri Ridz Okumura


  • 112
  • Selasa, 04 Mac 2025

Akiko (kanan) disahkan meninggal dunia pada Jumaat.

WANITA berasal Jepun yang maut dipercayai terjatuh dari tingkat empat sebuah kondominium di Subang Jaya, Selangor pada Jumaat lalu disahkan merupakan isteri kepada usahawan, Abd Ridzuan Abdul Mutalib.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR), namun pihak polis akan menyiasat kes secara menyeluruh.

"Walaupun mati mengejut, siasatan kita sama, kita akan melihat sama ada wujud unsur jenayah, tindakan sendiri atau sebagainya.

"Jika dikesan ada unsur jenayah, baru kita klasifikasikan semula kes ini di bawah kesalahan jenayah.

"Jadi, saya minta orang ramai tidak memberi sebarang komen negatif terhadap kes ini tanpa mengetahui sebarang kesahihan," katanya pada Selasa.

Mengulas lanjut, Hussein berkata, keterangan usahawan yang popular sebagai Ridz Okumura itu juga sudah diambil. 

Sebelum ini, media melaporkan Ridzuan memaklumkan isterinya sudah pergi selama-lamanya dan meninggalkan beliau serta anak lelakinya, Sky Taizo Okumura.

"Al-Fatihah buat arwah isteri saya, Akiko Okumura, telah pergi meninggalkan saya dan anak saya selamanya. Al-Fatihah," katanya pada laman Instagram.

Pada 28 Februari lalu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat dalam kenyataan berkata, seorang wanita warga Jepun ditemukan maut dipercayai terjatuh dari tingkat empat sebuah kondominium di SS16 Subang Jaya.

Beliau berkata, hasil siasatan di tempat kejadian mendapati, mangsa adalah seorang wanita warga Jepun, berusia 50-an sudah meninggal dunia, dalam keadaan tertiarap di atas tanah.

Tambahnya lagi, siasatan awal pada tubuh mangsa dan di lokasi kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah membabitkan insiden itu. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram