Selalu jadi 'bahan' ejekan kanak-kanak di jalanan, suami malu, ceraikan isteri derita penyakit kulit


  • Cinta
  • Rabu, 28 Jan 2026

Doktor mendiagnosis Li menghidap vitiligo, penyakit kulit kronik yang menyebabkan kehilangan pigmen pada kulit, rambut dan membran mukus. — Agensi

SEORANG wanita di China yang mengalami kebotakan di bahagian atas kepala akibat penyakit kulit diceraikan secara kejam oleh suaminya.

Wanita berusia 36 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Li itu menetap di Shangqiu, wilayah Henan tengah.

Menurut laporan media tempatan, suami wanita tersebut tidak mengambil berat dan memandang rendah kepadanya sejak dia jatuh sakit dua tahun lalu.

BACA LAGI: Suami 'paksa bayar' RM50,000 jika isteri minta cerai, peguam syarie jelas isu tebus talak

BACA LAGI: [VIDEO] Suami pilih kembali kepada bekas kekasih, ceraikan isteri sehari selepas bersalin

"Saya telah mendedikasikan diri untuk keluarga. Saya menjaga anak kami, mencuci pakaian, menyediakan makanan dan melakukan kerja rumah lain.

"Saya tidak pernah lihat lelaki yang begitu kejam,” katanya.

Li mendapatkan bantuan daripada media kerana dia mengakui putus asa dan tidak dapat berfikir dengan jelas dengan sikap suaminya.

Disebabkan rambut gugur, Li sering menjadi bahan ejekan kanak-kanak di jalanan. — Agensi

Dua tahun lalu, sebahagian besar rambut Li tiba-tiba bertukar putih.

Doktor mendiagnosisnya menghidap vitiligo, penyakit kulit kronik yang menyebabkan kehilangan pigmen pada kulit, rambut dan membran mukus.

Sejak itu, penampilannya kelihatan jauh lebih tua daripada usianya.

Disebabkan rambut gugur, Li turut menjadi bahan ejekan kanak-kanak di jalan yang memanggilnya Qiu Qianchi, watak hodoh dalam drama televisyen The Romance of the Condor Heroes, yang diadaptasi daripada novel oleh Jin Yong.

Li berkata, suaminya tidak pernah menemaninya ke hospital atau bertanya tentang keadaannya kerana tidak mahu membayar bil perubatan.

"Sejak mendapat penyakit ini, suami tidak pernah membawa saya ke majlis, makan malam dengan saudara atau rakan-rakannya. Katanya saya akan memalukan dia,” ceritanya.

Pasangan berkenaan telah berkahwin selama 16 tahun sebelum perceraian berlaku.

Hak penjagaan anak telah diberikan kepada Li. Sikap suami Li terhadap tuduhan tersebut masih belum dilaporkan.

Lu Manchun, seorang doktor kanan dari Zhengzhou Leukoderma Hospital di Henan berkata, vitiligo boleh berlaku pada mana-mana bahagian badan dan dianggarkan menjejaskan 0.5 hingga 2 peratus populasi dunia.

“Kawasan kulit putih di kepala Li pada mulanya tidak begitu serius, tetapi merebak dengan cepat akibat rasa cemas, marah dan emosi negatif lain,” jelas beliau.

Lu menambah, bahawa minda dan mood yang baik adalah salah satu rawatan penting bagi penyakit itu. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram