Suami 'paksa bayar' RM50,000 jika isteri minta cerai, peguam syarie jelas isu tebus talak


  • Cinta
  • Ahad, 06 Jul 2025

Ramai isteri terpaksa bayar jumlah tinggi untuk cerai kerana terpedaya dengan tuntutan suami. — Gambar Hiasan/AI

ISU perceraian dalam kalangan pasangan Islam di negara ini semakin kompleks apabila timbul dakwaan segelintir suami meminta bayaran tinggi daripada isteri sebagai syarat untuk menceraikan mereka.

Lebih membimbangkan, ada pula menyandarkan permintaan itu kononnya atas nama mahkamah, sekali gus mengelirukan dan menekan pihak isteri yang kurang arif tentang hak serta prosedur sebenar.

Situasi itu bukan lagi asing, malah semakin kerap berlaku apabila wanita yang ingin keluar daripada perkahwinan toksik terpaksa berdepan tuntutan tidak munasabah dengan alasan "isteri minta cerai, jadi kena bayar".

BACA LAGI: Seperti mana tak benarkan remaja 13 tahun beli rokok, kenapa tiada had umur tegas untuk akses media sosial? — Pakar

BACA LAGI: Dapur Jennifer Aniston cetus trend moden-rustik mewah menjelang 2026, fungsi bertemu estetika

Seorang peguam syarie tampil memberi penjelasan bagi merungkai salah faham itu, termasuk mengenai konsep sebenar tebus talak dalam Islam.

Ia susulan satu insiden membabitkan seorang wanita yang mendakwa suaminya meminta bayaran sebanyak RM50,000 sebagai syarat untuk bercerai.

Menurut Fahmi Ramli, peguam syarie yang aktif dalam advokasi isu kekeluargaan Islam, wanita tersebut menemuinya di luar Mahkamah Syariah dalam keadaan sedih dan marah selepas keluar dari dewan perbicaraan.

"Dia bertanya kepada saya, betulkah jika isteri minta cerai, perlu bayar RM50,000 kepada suami seperti yang dikatakan oleh suaminya.

"Malah, si suami mendakwa jumlah itu ditetapkan oleh mahkamah," katanya.

Fahmi menegaskan, dakwaan kononnya mahkamah menetapkan jumlah tertentu bagi tebus talak adalah tidak benar dan boleh mengelirukan masyarakat, khususnya golongan wanita yang tidak tahu hak mereka.

Tebus talak bukan ganti rugi

Jelas beliau, dalam Islam tebus talak merujuk kepada penceraian yang berlaku apabila isteri menawarkan sesuatu kepada suami sebagai ganti untuk dilepaskan.

Namun, ia tidak bersifat wajib dan tak ditentukan nilainya secara mutlak dalam undang-undang atau hukum syarak.

"Tebus talak bukan bayaran ganti rugi. Ia bukan hukuman kepada isteri kerana mahu berpisah. Malah, jumlah bayaran itu perlulah dipersetujui oleh kedua-dua pihak," jelasnya.

Wujud pada zaman Nabi

Fahmi turut memetik satu hadis berkaitan isteri kepada Thabit bin Qais, seorang sahabat Nabi Muhammad SAW, yang meminta cerai walaupun suaminya berakhlak baik.

Rasulullah SAW ketika itu meminta isteri tersebut memulangkan kebun yang diberi sebagai mahar dan pasangan itu kemudian berpisah dengan talak satu.

Dianggap Talak Bain Sughra

Perceraian melalui tebus talak dikategorikan sebagai Talak Bain Sughra, iaitu pasangan tidak boleh rujuk dalam tempoh eddah, tetapi boleh bernikah semula dengan akad dan mahar yang baharu.

Fahmi berkata, secara prinsipnya, jika isteri sudah tiada keinginan untuk meneruskan perkahwinan, namun tiada alasan kukuh seperti penderaan atau kegagalan suami menunaikan nafkah, maka tebus talak boleh dipertimbangkan.

Tiada jumlah tetap dalam hukum

Dalam mazhab Syafie, tiada jumlah tertentu dinyatakan untuk bayaran tebus talak.

Sebaliknya, isteri boleh memberi apa-apa bentuk harta yang mempunyai nilai, termasuk memulangkan mas kahwin.

"Ada isteri yang terpaksa bayar RM10,000, RM20,000 malah RM100,000 hanya kerana tak tahu bahawa itu bukan kewajipan. Ini membuka ruang untuk suami mengambil kesempatan," katanya.

Mahkamah boleh taksir jumlah

Menurut Seksyen 49(3) Enakmen Keluarga Islam Kedah, jika berlaku perselisihan tentang jumlah bayaran, Mahkamah boleh menaksirkan nilai yang munasabah mengikut hukum syarak dengan mengambil kira taraf hidup dan kemampuan kewangan kedua-dua pihak.

Bagaimanapun, jelas Fahmi, jika salah satu pihak tidak bersetuju dengan jumlah tersebut, Mahkamah tidak boleh memaksa sebarang pembayaran atau penerimaan dibuat.

"Ini seperti jual beli. Kalau tiada persetujuan dua pihak, maka proses tak boleh diteruskan. Mahkamah akan arahkan lantikan Jawatankuasa Pendamai mengikut prosedur Seksyen 47 Enakmen Keluarga Islam," tambahnya.

Isteri perlu tahu hak

Fahmi menasihatkan golongan wanita agar tidak mudah tunduk pada permintaan suami yang mengenakan syarat tidak munasabah untuk perceraian, apatah lagi menjadikan ia sebagai peluang untuk mendapatkan 'modal kahwin baharu'.

"Jangan sesekali sangka tebus talak itu wajib atau ia satu bentuk denda. Jika isteri tidak mampu atau tidak rela, tidak perlu meneruskan proses itu. Masih ada saluran lain yang boleh digunakan," katanya.

Beliau juga mengingatkan masyarakat supaya lebih cakna dengan hak dan prosedur undang-undang Islam, agar tidak terus menjadi mangsa eksploitasi dalam isu rumah tangga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram