MELAKUKAN rawatan alat kelamin wanita bagi tujuan mengetatkan atau mencantikkan bahagian sulit boleh jatuh haram walaupun dibuat atas alasan untuk memenuhi kehendak suami, jelas pendakwah bebas, Ustazah Asma’ Harun.
Menurut beliau, perbuatan berkenaan melibatkan pendedahan aurat besar, berpotensi mengubah ciptaan asal dan membuka ruang kepada fitnah serta hilangnya sifat malu dalam diri seorang wanita beragama Islam.
“Boleh jatuh haram ya buat rawatan alat kelamin tujuan ketat dan cerah, walaupun alasan untuk suami," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Baru-baru ini, seorang personaliti media sosial berkongsi pengalaman menjalani rawatan laser pada bahagian alat sulit sebagai sebahagian daripada penjagaan diri.
Ustazah Asma’ mengingatkan wanita agar tidak menceritakan secara terbuka pengalaman menjalani rawatan sedemikian kerana ia boleh mendedahkan aib diri sendiri.
"Ia memberi bayangan aib alat kelamin dan apabila sifat malu hilang, ia satu perkara yang sangat membimbangkan," katanya.
Dalam pada itu, Ustazah Asma’ turut merujuk pandangan ulama terkenal, Dr. Soleh Muhamad al-Fawzan, dalam kitab al-Jirahah al-Tajmiliyyah yang membahagikan rawatan faraj kepada beberapa keadaan.
Menurutnya, rawatan pembedahan faraj adalah harus sekiranya dilakukan atas dasar perubatan seperti masalah kekeliruan antara faraj, gangguan saluran kencing atau najis, kelemahan otot faraj yang serius atau keadaan yang mana sesuatu keluar dari faraj sehingga boleh memudaratkan pasangan.

Ustazah Asma’ mengingatkan wanita agar tidak menceritakan secara terbuka pengalaman menjalani rawatan sedemikian.
Namun, rawatan mengetatkan faraj yang longgar secara semula jadi hanya untuk tujuan kepuasan hubungan seksual tanpa keperluan perubatan adalah haram.
Pengharaman itu, jelas beliau, adalah kerana prosedur tersebut dianggap sebagai mengubah ciptaan semula jadi, memandangkan kekenduran otot faraj merupakan perkara tabii yang berlaku apabila wanita meningkat usia atau kerap melahirkan anak.
“Berbeza sekiranya kelonggaran itu berlaku akibat kemalangan atau penyakit, maka ia dibenarkan kerana dianggap sebagai kecacatan yang tidak disengajakan,” jelasnya.
Selain itu, rawatan berkenaan juga memerlukan pemeriksaan dan sentuhan pada bahagian sulit wanita, yang diharamkan kecuali atas keperluan mendesak seperti tujuan perubatan, di samping berisiko membuka ruang fitnah terhadap aurat.
Ustazah Asma’ menegaskan, dari sudut lain, wanita masih boleh menjalani kehidupan seksual seperti biasa tanpa perlu menjalani rawatan sedemikian, sebagaimana wanita lain yang berkahwin, melahirkan anak dan melalui proses penuaan secara fitrah.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan umat Islam agar lebih berhati-hati, memahami batas syarak serta tidak terpengaruh dengan trend kecantikan yang bercanggah dengan nilai agama. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram
