
PELAKON terkenal, Siti Saleha kini secara rasmi dilantik sebagai Profesor Adjung di Universiti Taylor bagi tempoh September 2025 hingga Ogos 2027.
Perkara itu dimaklumkan pihak universiti menerusi satu hantaran di Instagram rasmi pada Jumaat.
“Kami amat berbesar hati mengalu-alukan kehadiran pelakon Malaysia yang memenangi pelbagai anugerah, Siti Saleha, sebagai Profesor Adjung kami.
"Dengan pengalaman luar biasanya dalam industri televisyen dan perfileman, beliau bakal membawa pandangan baharu serta inspirasi segar kepada program Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan (Kepujian) di universiti ini,” tulis hantaran itu.
BACA LAGI: Dari dunia fesyen ke sukan bola sepak, Madam Pang terus ukir nama dalam sejarah Thailand
Sementara itu, Siti Saleha meluahkan rasa syukur dan keterujaannya memikul tanggungjawab baharu itu.
“Ia benar-benar satu penghormatan dapat berkongsi, menimba ilmu dan berkembang bersama barisan minda yang begitu hebat serta menginspirasikan” katanya menerusi ruangan komen.
Pelantikan bintang drama 7 Hari Mencintaiku itu disambut hangat oleh peminat dan warga seni yang melihat langkah tersebut sebagai satu pengiktirafan kepada penggiat industri kreatif tanah air.
Tidak hanya Siti Saleha, berikut antara tiga selebriti wanita yang turut menggalas peranan sebagai pendidik:
1) Syafinaz Selamat
Syafinaz sebelum ini merupakan pensyarah di UiTM. — Instagram/datuksyafinazofficial
Berbekalkan latar belakang akademik kukuh dan pengalaman lebih dua dekad dalam industri muzik, Datuk Syafinaz Selamat kini memegang jawatan Profesor Adjung di Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Pelantikan itu berkuat kuasa dari 1 Julai 2025 hingga 30 Jun 2026.
Penyanyi dan guru vokal itu sebelum ini merupakan pensyarah di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam bidang muzik dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).
2) Najwa Latif
Najwa kini bertugas sebagai pensyarah di Pusat Asasi UiTM. — Instagram/njwalatif
Beliau memiliki Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam bidang Pendidikan Bahasa Inggeris dari Universiti Malaya (UM), menjadikannya antara artis muda tanah air yang bergelar doktor akademik.
Pelantun lagu popular Cinta Muka Buku dan Kosong itu kini bertugas sebagai pensyarah Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Pusat Asasi UiTM, Kampus Dengkil, sejak Oktober tahun lalu.
3) Soo Wincci
Bekas Miss World Malaysia 2008 itu memiliki PhD dalam Pengurusan Perniagaan daripada OUM. — Instagram/dr.soowincci
Dari ratu cantik ke dunia pendidikan, Dr. Soo Wincci kini dikenali sebagai pensyarah, penyelidik dan ahli akademik dalam bidang seni serta pengurusan kreatif.
Bekas Miss World Malaysia 2008 itu memiliki PhD dalam Pengurusan Perniagaan daripada Universiti Terbuka Malaysia (OUM) serta mendapat Sarjana Muzik (Vokal dan Persembahan) daripada Berklee College of Music, Sepanyol. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram