Sunyi anak berhijrah ke luar negara, wanita 59 tahun lahirkan anak selepas rawatan IVF


  • Bonda
  • Sabtu, 24 Jan 2026

Zou melahirkan bayi berkenaan pada 9 Januari lalu menerusi pembedahan caesarean di Hospital Rakyat No. 1 Zhangjiagang. — Agensi

SEORANG wanita berusia 59 tahun di Shanghai, China selamat melahirkan seorang bayi lelaki, sekali gus mencatat rekod sebagai wanita hamil paling berusia di bandar itu. 

Menurut laporan berita tempatan, bayi berkenaan dilahirkan pada 9 Januari lalu menerusi pembedahan caesarean di Hospital Rakyat No. 1 Zhangjiagang di wilayah Jiangsu, timur China, dengan berat 2.2 kilogram.

"Melihat bayi ini dan mendengar tangisannya membuatkan saya sangat teruja. Tidak sangka impian akan menjadi kenyataan," kata wanita itu yang dikenali dengan nama keluarga Zou.

BACA LAGI: Selepas 15 tahun menanti zuriat, pasangan ini akhirnya timang cahaya mata menerusi tajaan TAFF

BACA LAGI: Niat nak kurus amal diet karnivor, pempengaruh usia 23 tahun alami masalah buah pinggang serius

Zou yang mempunyai seorang anak perempuan dewasa berkata, idea untuk mempunyai seorang lagi anak timbul sejak dua tahun lalu.

“Anak perempuan saya tinggal di luar negara. Seiring masa berlalu, saya dan suami sering berasa kesepian,” luahnya.

Selepas membuat keputusan itu, beliau mula menjaga dan menyesuaikan tahap kesihatannya sebagai persediaan untuk hamil.

Tahun lalu, Zou berjaya hamil hasil teknologi persenyawaan in vitro (IVF).

Zou menerima urutan kaki bagi melegakan bengkak ketika baring di katil hospital. — Agensi

Sepanjang menjalani pemeriksaan pranatal di hospital, doktor menyediakan pelan pengurusan kesihatan yang menyeluruh berikutan faktor usianya.

Sementara itu, menurut pakar perbidanan kanan di Hospital Rakyat No. 1 Zhangjiagang, Guo Huiping, Zou tergolong sebagai wanita hamil berusia sangat lanjut.

"Beliau berisiko mengalami komplikasi kehamilan dan keabnormalan janin meningkat dengan ketara,” katanya.

Ujar Zou, pihak hospital juga kerap menghantar mesej untuk mengingatkan beliau tentang keadaan kesihatannya.

"Saya rasa seperti seekor panda, dilindungi dengan penuh teliti oleh para doktor,” katanya lagi.

Sepanjang tempoh kehamilan, Zou berdepan pelbagai cabaran besar. 

Tekanan darahnya meningkat dan tidak stabil. Tahap albumin, asid urik serta fungsi buah pinggangnya juga bermasalah. 

Selain itu, kakinya mengalami bengkak yang serius.

Doktor akhirnya memutuskan untuk menjalankan pembedahan caesarean ketika Zou hamil 33 minggu dan lima hari.

"Beliau seorang ibu yang berani kerana sanggup menyahut cabaran besar ini," jelas Huiping.

Laporan berkenaan tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai suami Zou atau anak perempuannya.

Kisah wanita yang melahirkan anak pada usia lanjut sering menarik perhatian pengguna media sosial di tanah besar China.

Pada Disember lalu, seorang wanita di wilayah Jilin, timur laut China, mencuri tumpuan ramai selepas hamil pada usia 62 tahun.

Wanita itu berkata, beliau mahu mempunyai anak kedua kerana anak satu-satunya anak yang dimiliki, meninggal dunia pada Januari 2025.

Pihak berkuasa kesihatan perbandaran Beijing mengumumkan mulai tahun ini, wanita bersara boleh mendapatkan bayaran balik kos pemeriksaan pranatal menerusi skim insurans kesihatan awam.

Langkah itu dilihat sebagai usaha menyokong golongan wanita berkenaan untuk mempunyai lebih ramai anak dalam keadaan masyarakat yang semakin menua dengan pantas. — The Star/ALICE YAN

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram