SELEPAS menunggu hampir satu setengah dekad, doa dan harapan pasangan suami isteri ini akhirnya dimakbulkan apabila cahaya mata sulung selamat dilahirkan menerusi rawatan persenyawaan in vitro (IVF) tajaan Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF).
Abdul Aziz Abd Halim dan isterinya, Noor Hamira Mohd Sani tidak mampu menyembunyikan rasa syukur apabila bayi lelaki seberat 2.97 kilogram yang diberi nama Mikhael lahir dengan selamat dan sihat pada Jumaat lalu, selepas 15 tahun menanti kehadiran zuriat.
Kegembiraan pasangan itu turut dikongsi oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj, yang berkenan mencemar duli berangkat melawat ibu dan bayi berkenaan di Hospital Selayang, Selangor pada Isnin.
BACA LAGI: Niat nak kurus amal diet karnivor, pempengaruh usia 23 tahun alami masalah buah pinggang serius
Menerusi hantaran di Facebook Kesultanan Pahang, turut dimuat naik beberapa keping gambar yang memaparkan Paduka Baginda menggendong Mikhael di sisi katil wad, di samping ibu bayi yang masih dalam tempoh berpantang.
Paduka Baginda kelihatan gembira meluangkan masa bersama bayi berkenaan.
Mikhael merupakan bayi ke-150 yang berjaya dilahirkan hasil rawatan IVF sejak penubuhan Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) pada tahun 2004, sekali gus menjadi simbol kejayaan usaha berterusan yayasan tersebut membantu pasangan yang berdepan masalah kesuburan.
Untuk rekod, TAFF yang diasaskan atas inisiatif KDPB Tengku Ampuan Pahang sejak 21 tahun lalu telah menaja seramai 553 pasangan suami isteri dari seluruh negara yang menghadapi kesukaran mendapatkan cahaya mata. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
