TINDAKAN seorang jururawat di China yang membenarkan teman lelakinya membantu kerja-kerja klinikal ketika syif malam mencetuskan kemarahan awam, sekali gus membuka perbincangan serius tentang keselamatan pesakit dan etika profesion perubatan.
Jururawat berkenaan, yang bertugas di Hospital Singde Brain Blood Vessel di Qingdao, wilayah Shandong, China digantung tugas selepas memuat naik video di media sosial pada 2 Januari lalu.
Video itu pada asalnya bertujuan mempamerkan sikap penyayang teman lelaki yang sanggup menemaninya bekerja pada waktu malam.
BACA LAGI: Wanita 22 tahun lumpuh, nyaris maut akibat strok, waspada Gen Z juga berisiko terkena serangan otak
Dalam rakaman tersebut, wanita itu memperkenalkan lelaki berkenaan sebagai 'rakan syif malam' sambil menjelaskan bahawa teman lelakinya bekerja pada waktu siang dan sering menemaninya ketika beliau bertugas pada waktu malam.
Namun, apa dipaparkan jauh melangkaui sekadar yang dikatakan sebagai menemani.
Rakaman video itu menunjukkan lelaki tersebut berada di hospital pada beberapa hari yang berbeza, berdasarkan pakaian dipakainya dalam setiap rakaman.
Lebih membimbangkan, beliau dilihat menulis laporan pesakit, mengendalikan komputer di kaunter jururawat, menyediakan ubat-ubatan serta melabel botol intravena iaitu tugasan yang sepatutnya hanya dilakukan oleh kakitangan perubatan bertauliah.
Video tersebut tular sehingga mencetuskan kemarahan warga maya.
Ramai mempersoalkan tahap profesionalisme jururawat itu serta risiko besar yang terdedah kepada pesakit.
“Mereka bercinta, tetapi langsung tidak mengambil serius nyawa pesakit. Jika berlaku kesilapan melabel ubat, siapa yang akan bertanggungjawab?” tulis seorang pengguna media sosial.
Seorang lagi menyifatkan tindakan itu sebagai melampau, manakala ada yang menggesa orang ramai membuat aduan rasmi kepada pihak hospital dan pihak berkuasa kesihatan.
Pihak hospital mengambil maklum berkait insiden tersebut dan menjalankan siasatan dalaman.
Jurucakap hospital dilaporkan berkata, isu itu bukan perkara kecil dan perlu ditangani dengan serius.
Susulan tekanan awam, Suruhanjaya Kesihatan Perbandaran Qingdao pada 3 Januari mengeluarkan kenyataan rasmi mengesahkan jururawat tersebut digantung tugas kerana melanggar disiplin kerja.
“Kami mesti berpegang pada garis dasar keselamatan perubatan bagi melindungi kesihatan pesakit. Sebarang pelanggaran peraturan akan dikenakan tindakan tegas,” menurut kenyataan itu.
Ada yang menggesa hukuman lebih berat dikenakan, termasuk tindakan undang-undang, manakala sebahagian lain meramalkan pihak berkuasa akan mengarahkan pemeriksaan menyeluruh terhadap prosedur keselamatan perubatan di semua hospital di Qingdao. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
