Kisah di sebalik nama restoran ‘Yati & Bedah’, simbol kasih sayang buat mak, ibu angkat


  • Bonda
  • Khamis, 22 Jan 2026

Kedai makan itu dibina sebagai tanda penghargaan dan kasih sayang buat ibu dan ibu angkatnya.

BUKAN sekadar kain rentang di hadapan kedai, nama Yati dan Bedah membawa makna mendalam bagi seorang pemilik kedai makan yang berlokasi di sebuah medan selera dekat Petaling Jaya, Selangor.

Menceritakan asal usul premis tersebut, pemiliknya memberitahu, nama Yati merujuk kepada ibu kandung kini berusia 78 tahun dan merupakan suri rumah pernah berkhidmat sebagai guru tadika.

Menurutnya, ibunya banyak berkorban sejak usia muda demi membesarkan anak-anak, termasuk menjaga adik-beradiknya ketika arwah nenek mereka sakit.

BACA LAGI: Pesakit kanser hasilkan buku kanak-kanak, jadi 'peneman' buat si kecil hidap sakit kronik

BACA LAGI: Modal lebih RM30,000 lesap, 'over confident' pengasas kosmetik bangkit lepas sambung ijazah sarjana

"Selepas arwah tok meninggal dunia, mak tak pernah bekerja dan kadang mak rasa dia tiada apa-apa pencapaian dalam hidup.

"Namun bagi saya, pengorbanan mak lebih besar daripada apa-apa pencapaian dunia," ceritanya menerusi hantaran di akaun TikTok Yatidanbedah baru-baru ini.

Beliau berkata, kedai makan itu dibina sebagai tanda penghargaan dan kasih sayang buat ibunya, agar wanita tersebut dapat merasakan dirinya berjaya melalui usaha kecil yang dibangunkan bersama.

Sementara itu, nama Bedah pula diambil sempena ibu angkat yang juga sahabat baik ibu beliau sejak dahulu.

Ujar individu tersebut, wanita berkenaan tidak dikurniakan anak dan sejak sekian lama menganggap beliau sebagai anak sendiri.

Selain nama yang sarat dengan makna, menu di kedai tersebut turut berbeza kerana dihasilkan daripada resipi keluarga yang diwarisi turun-temurun.

Pemilik kedai berkata, resipi sambal hati menjadi antara menu istimewa berasal daripada arwah neneknya, yang berketurunan Cina dan berkahwin dengan datuknya.

"Sejujurnya saya sendiri tidak makan hati, tetapi sambalnya tetap saya makan kerana rasanya memang tidak boleh ditemui di tempat lain.

"Kuah laksa pula datang daripada resipi acik sendiri dan uniknya ia langsung tidak menggunakan belacan,” katanya menambah, setiap hidangan yang disajikan mempunyai kisah dan perjalanan tersendiri, selari dengan kisah hidup keluarganya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram