[VIDEO] Gendong bayi ketika maraton, peserta diarah keluar perlumbaan


  • Bonda
  • Rabu, 21 Jan 2026

Nombor bib perlumbaan lelaki itu dipinkan terus pada jaket 'windbreaker' berwarna merah jambu yang dipakai bayi tersebut.

TINDAKAN seorang pelari membawa bayi ketika menyertai acara maraton di Hong Kong mencetuskan kemarahan orang ramai.

Penyertaan individu tersebut bagaimanapun telah dibatalkan dan diarahkan meninggalkan perlumbaan atas faktor keselamatan.

Insiden itu berlaku semasa acara Standard Chartered Hong Kong Marathon pada Ahad lalu, selepas lelaki berkenaan dirakam berlari dengan seorang bayi yang diikat di dadanya.

BACA LAGI: Niat awal berlari nak kuruskan badan lepas bersalin, ibu anak 3 tak sangka kini jadi pelari maraton ultra

BACA LAGI: Ketahui strategi, cara latihan maraton untuk pelari amatur

Rakaman menunjukkan pelari lain memotong laluannya sambil hairan melihat situasi berkenaan.

Lebih mengejutkan, nombor bib perlumbaan lelaki itu dipinkan terus pada jaket windbreaker berwarna merah jambu yang dipakai bayi tersebut.

Menurut laporan media antarabangsa, video itu dirakam seorang pelari lain di Lebuhraya West Kowloon, antara tanda jarak 5 kilometer (km) hingga 10km bagi laluan maraton penuh.

Rakaman berkenaan menunjukkan kepala bayi itu terhuyung-hayang ke atas dan ke bawah ketika lelaki tersebut berlari, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan kanak-kanak berkenaan.

Video itu kemudian tular di media sosial, dengan warga maya meluahkan rasa terkejut dan bimbang terhadap risiko dialami bayi tersebut dalam acara ketahanan berimpak tinggi.

Seorang netizen menyifatkan tindakan pelari itu sebagai keterlaluan dan sengaja dilakukan untuk meraih perhatian, manakala yang lain menganggapnya 'tidak masuk akal', memandangkan cuaca di Hong Kong ketika itu panas dan bayi tersebut pula mengenakan windbreaker.

Ada juga yang melahirkan kebimbangan sekiranya pelari itu terjatuh, bayi berkenaan berisiko dihempap dan mengalami kecederaan serius.

Sementara itu, Persatuan Gabungan Olahraga Hong Kong, China (HKAAA) selaku penganjur acara mengesahkan pegawai perlumbaan telah meminta pelari berkenaan meninggalkan laluan perlumbaan serta-merta bagi memastikan keselamatan semua pihak.

Berdasarkan data live-tracking, lelaki itu memulakan larian maraton penuh pada pukul 6.25 pagi dan menempuh kira-kira 15 kilometer dalam tempoh dua jam 20 minit sebelum campur tangan dilakukan.

Perlumbaan maraton penuh berkenaan mempunyai jarak sekitar 42 kilometer.

Laporan media turut menyatakan, peraturan perlumbaan dengan jelas melarang peserta membawa bayi, individu di bawah usia 16 tahun atau sesiapa yang tidak mempunyai bib perlumbaan sah ke dalam laluan perlumbaan.

Pelanggaran peraturan boleh menyebabkan peserta dikeluarkan serta-merta, dibatalkan penyertaan dan berdepan larangan menyertai acara pada masa hadapan.

Insiden itu turut mencetuskan persoalan mengenai tahap pemeriksaan keselamatan dan bagaimana pelari berkenaan boleh melepasi kawalan tanpa dikesan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram