SANTAN atau susu kelapa yang sinonim dengan masakan tempatan seperti rendang, laksa dan masak lemak sering menjadi bahan utama dalam hidangan masyarakat Malaysia.
Namun, kebimbangan terhadap kesannya pada kesihatan, khususnya berkaitan kolesterol, menyebabkan ada dalam kalangan orang ramai memilih untuk mengurangkan atau mengelakkan pengambilannya.
Persoalannya, benarkah santan mengandungi kolesterol yang tinggi?
BACA LAGI: Ini akan dialami wanita jika makan sebiji telur setiap hari selama seminggu
BACA LAGI: Penampilan terkini Maria Tunku Sabri semakin langsing raih perhatian, ramai minta 'share' tip!
Menurut pakar kesihatan dan pemakanan, santan sebenarnya tidak mengandungi kolesterol langsung.
Ini kerana kolesterol hanya terdapat dalam produk berasaskan haiwan, manakala santan merupakan makanan berasaskan tumbuhan.

Santan dilaporkan mempunyai aktiviti antioksidan lebih tinggi berbanding susu lembu dan susu kambing.
Jabatan Perubatan Sosial dan Pencegahan Universiti Malaya turut menjelaskan perkara itu menerusi buletin pemakanan mereka dengan menegaskan bahawa tiada kolesterol dalam santan.
Namun begitu, kekeliruan sering timbul kerana santan mengandungi lemak tepu, yang boleh meningkatkan paras kolesterol darah sekiranya diambil secara berlebihan.
Lemak tepu dalam santan kebanyakannya terdiri daripada asid lemak rantaian sederhana, khususnya asid laurik, yang bertindak berbeza dalam tubuh berbanding lemak tepu lain.
Kajian mendapati pengambilan santan secara sederhana berpotensi memberi kesan positif terhadap profil kolesterol.
Antaranya, santan didapati mampu meningkatkan paras kolesterol baik (HDL), selain memberi kesan neutral atau positif terhadap kolesterol jahat (LDL).
Kesan itu sebahagian besarnya dikaitkan dengan kandungan asid laurik, yang meningkatkan HDL pada kadar lebih tinggi berbanding LDL.
Selain itu, kandungan serat dan protein dalam santan, terutamanya apabila diambil sebagai kelapa secara menyeluruh dan bukannya lemak terasing, turut dipercayai membantu mengurangkan kolesterol.
Santan juga dilaporkan mempunyai aktiviti antioksidan yang lebih tinggi berbanding susu lembu dan susu kambing, sekali gus membantu melindungi tubuh daripada tekanan oksidatif.
Seperti kebanyakan makanan lain, pakar menegaskan bahawa pengambilan secara sederhana adalah kunci utama.
Pengambilan santan secara berlebihan boleh menyumbang pada pertambahan berat badan disebabkan kandungan kalorinya yang tinggi, selain berpotensi meningkatkan paras kolesterol.
Namun, apabila diambil sebagai sebahagian daripada diet seimbang, santan kekal sebagai pilihan berkhasiat tanpa perlu dibimbangi dari sudut kandungan kolesterol, seperti yang sering disalah tafsir oleh orang ramai. — The Star/NIKLAS ALBAKRI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
