[VIDEO] Tukang urut berkebaya di Jepun, Naimah Yasir wakili negara untuk Massage Championship World Tour 2025


  • Sukses
  • Isnin, 26 Mei 2025

Naimah mencuri perhatian melalui gerakan urutnya serta penampilan kebayanya. — Instagram/@naimahyasir

DARI Kuala Lumpur ke Tokyo, Jepun, tukang urut Naimah Yasir membawa kemahiran seni urutannya ke pentas antarabangsa menerusi Massage Championship World Tour 2025.

Beliau merupakan wakil Malaysia yang menyertai kejohanan berprestij ini yang berlangsung dari 20 sehingga 22 Mei lalu di Stadium Nasional Yoyogi.

Dalam satu hantaran di Instagramnya, Nadiah yang mengenakan baju kebaya lengan pendek berwarna merah memperlihatkan gerakan urutnya yang dianggap menyerupai seni silat dengan berlatarkan lagu Semerah Padi nyanyian Datuk M. Nasir.

BACA LAGI: [VIDEO] Lain daripada yang lain, murid di Pulau Tioman hadiahkan ikan mewah bernilai lebih RM300 sempena Hari Guru

BACA LAGI: [VIDEO] 'Bukan sekadar gelang, tetapi simbol kasih sayang,' Catriona Ross sebak terima hadiah Hari Ibu daripada anak autisme

 

 

Kemahiran beliau mengundang kagum dalam kalangan warga maya yang menontonnya.

"Ada kemahiran silat ya. Lentik tangan, menyala sis!," komen @nor_aisy_adha.

Dalam satu hantarannya lagi, Wanita tersebut menzahirkan semangatnya untuk terus menimba ilmu berkaitan seni urut.

"Belajar lagi dan lagi Naimah!" tulisnya ringkas dalam ruangan kapsyen.

Perkongsian tersebut juga menerima reaksi positif dalam kalangan pengikutnya yang rata-rata memberi sokongan kepada beliau.

"Mana nak sign up jadi orang yang diurut itu?" seloroh @liyanaar_snorklerqueen.

"Sangat menyala. Saya bangga dengan awak, pencapaian luar biasa," komen @makeupbyricarazali.

Turut kagum dengan hantaran tersebut ialah salah seorang tukang urut dari negara terbit matahari itu yang menulis komennya dalam Bahasa Melayu.

Bukan hanya kemahirannya yang mencuri tumpuan, malah penampilan kebayanya juga menarik perhatian.

"Saya sangat seronok dapat melihat urutan yang luar biasa! Pakaiannya juga merah dan sangat cantik," ujar @salon.n_25. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram