SEORANG anak meluahkan tekanan emosi dialami apabila perlu berdepan sikap ibunya yang didakwa gemar berhutang dan kerap meminta wang daripanya.
Menerusi satu hantaran di aplikasi Threads pada Isnin, individu berkenaan berkata, ibunya sering meminta wang walaupun mengetahui beliau masih bergelar pelajar universiti dan hanya mempunyai simpanan terhad.
BACA LAGI: Platform media sosial gagal patuhi larangan sekatan usia bakal dikenakan tindakan — Fahmi Fadzil
"Dah tak tahu macam mana nak hadap mak macam ini. Sesiapa yang pernah alami situasi ini, tolong ajar saya macam mana nak lepaskan diri.
"24 (Januari) saya dah balik universiti dan ada simpan duit sikit tapi mak asyik minta saja.
"Tak tahu nak bagi alasan apa dah, sumpah penat. Saya tiada niat nak minta sedekah atau apa-apa. Saya sayang mak tapi...," luahnya.
Menurut individu berkenaan, walaupun menyedari tanggungjawab dan kasih sayangnya terhadap ibu, permintaan berterusan itu memberi kesan besar kepada emosi dan kehidupannya sebagai pelajar.
Lebih menyedihkan, beliau turut mendakwa pernah menerima kata-kata berunsur penghinaan terhadap bentuk tubuh daripada ibunya sendiri.
"Saya cakap kalau bagi duit, nanti saya tak ada duit nak makan.
"Dia jawab ‘tak apa kurus sikit’. Saya seorang perempuan berbadan chubby. Dengar mama cakap macam itu buat saya putus asa dan terus bagi,” katanya.
Beliau turut menceritakan tentang keadaan kewangan keluarga yang dibelenggu hutang, walaupun bapanya bekerja.
Menurutnya, ibunya menjalani gaya hidup melebihi kemampuan dengan membeli barangan berjenama menggunakan pelbagai bentuk hutang.
Antara hutang yang didakwa termasuklah kemudahan beli sekarang bayar kemudian (BNPL) pinjaman bank dan pinjaman berlesen.
"Mak hidup macam orang kaya. Gaji banyak habis bayar hutang dan kadang-kadang saya pula yang kena keluarkan duit untuk tolong bayar hutang-hutang itu,” ujarnya.
Individu itu meluahkan kekeliruan mengenai cara untuk menasihati ibunya agar menghentikan tabiat berbelanja di luar kemampuan.
Beliau turut mempersoalkan bagaimana untuk melepaskan diri daripada tekanan kewangan yang ditanggung.
"Dah tak tahu macam mana nak nasihatkan mama untuk henti berbelanja macam kita ini orang senang," ceritanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
