Niat nak kurus amal diet karnivor, pempengaruh usia 23 tahun alami masalah buah pinggang serius


  • Sihat
  • Selasa, 13 Jan 2026

Pempengaruh, Eve Catherine berkongsi pengalaman ngeri itu selepas mengamalkan diet karnivor.

HASRAT seorang wanita untuk tampil lebih sihat dengan mengikuti trend diet hampir bertukar menjadi tragedi apabila terpaksa dikejarkan ke hospital akibat masalah buah pinggang yang serius.

Pempengaruh, Eve Catherine, 23, berkongsi pengalaman ngeri itu selepas mengamalkan diet karnivor, iaitu diet ekstrem yang hanya melibatkan pengambilan makanan berasaskan haiwan tanpa buah-buahan atau sayur-sayuran.

Menurut Eve, rutin pemakanannya setiap hari kelihatan ringkas dan konsisten iaitu telur sebagai sarapan, yogurt berprotein tinggi untuk makan tengah hari, manakala stik daging lembu menjadi menu makan malam. 

BACA LAGI: Obses pembedahan plastik hingga sanggup suntik minyak masak, akhirnya begini wajah penyanyi, model Korea

BACA LAGI: Wanita 22 tahun lumpuh, nyaris maut akibat strok, waspada Gen Z juga berisiko terkena serangan otak

Pada peringkat awal, dia merasakan tubuhnya memberi tindak balas positif.

Namun, keadaan berubah secara mendadak apabila pemeriksaan kesihatan rutin mendapati paras protein dalam air kencingnya berada pada tahap yang membimbangkan.

“Suatu pagi saya terjaga dan mendapati air kencing saya bercampur darah,” katanya menerusi satu hantaran di TikTok.

Eve kemudiannya dikejarkan ke hospital dan diberikan rawatan kecemasan. 

Dia terpaksa menerima suntikan morfin bagi menahan kesakitan teruk sebelum berjaya mengeluarkan batu karang buah pinggang, kesan daripada pengambilan protein berlebihan dalam jangka masa panjang.

Pengalaman itu menjadi titik perubahan buat Eve.

Secara terbuka, dia mengkritik diet karnivor dan mengaku menyesal kerana terlalu taksub dengan protein sehingga mengabaikan keseimbangan nutrisi.

“Ia adalah tindakan yang sangat bodoh. Saya seperti ketagih protein tanpa memikirkan kesannya terhadap tubuh,” ujarnya.

Walaupun diet karnivor semakin popular dan sering dipraktikkan oleh pempengaruh yang mempamerkan perubahan fizikal secara drastik, pakar kesihatan menegaskan bahawa diet ekstrem seperti ini tidak selamat untuk semua individu.

Antara risiko utama termasuk kekurangan serat akibat ketiadaan buah dan sayur-sayuran yang boleh menyebabkan masalah pencernaan. 

Selain itu, pengambilan daging merah tinggi lemak tepu secara berlebihan berpotensi meningkatkan kolesterol jahat serta risiko penyakit jantung. 

Beberapa kajian juga berpendapat bahawa diet karnivor boleh mencetuskan keradangan kronik dan mempercepatkan proses penuaan sel.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram